"Ini ibarat kejayaan tertangguh," kata pelari Terengganu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira, sebaik memenangi pingat emas acara 100m Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 di Stadium UPM, Serdang hari ini.
Dalam edisi di Sarawak dua tahun lalu, Izzatul Musfirah terpaksa menempuh aksi final 100 meter dalam kesakitan dan terlepas peluang untuk menduduki podium tertinggi.
Bagaimanapun, pelari berusia 18 tahun itu lega apabila kehampaan lalunya tidak berulang apabila dia melaju ke garisan penamat dengan catatan 11.73s untuk bergelar Ratu Pecut Sukma 2026.
"Sebenarnya selepas Sukma 2024 saya mengalami kecederaan dan saya gunakan kecederaan itu untuk meningkatkan motivasi saya sehingga ke hari ini," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
"Walaupun tahun ini ada yang kurang dan ia waktu yang agak sukar buat saya, ia sudah cukup baik untuk tahun ini."