Demikian luahan atlet tuan rumah, Nur Aina Qistina, apabila terpaksa berlatih berlipat kali ganda berbanding rakan sepasukan lain sebelum memenangi pingat emas acara taekwondo B-46kg wanita dalam Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 hari ini.
Ini kerana dia mula menceburi sukan itu pada usia yang agak lewat, iaitu ketika berusia 12 tahun.
Bagaimanapun, bakat semula jadi yang dimiliki membolehkannya meraih tali pinggang hitam dalam tempoh singkat, sekali gus berpeluang menyertai pasukan taekwondo negeri Selangor.
Dengan prestasi yang meningkat drastik, pelbagai pencapaian diraihnya dalam pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa, termasuk dinobatkan atlet terbaik kategori terbuka senior wanita dalam Kejohanan Taekwondo Antarabangsa Gelora Indonesia 2026 pada Jun lalu.
Penampilan pertama dalam Sukma kali ini menyaksikan atlet berusia 16 tahun itu menyumbang pingat emas ketiga buat kontinjen Selangor selepas menewaskan wakil Negeri Sembilan, Marieam Adlydelisha Afea, 2-0 dalam aksi final.
"Saya pernah mewakili negara dalam Kejohanan Remaja Dunia di Uzbekistan tetapi tiada rezeki," katanya kepada wartawan Astro Arena, Ainul Abd Rouf.
"Hari ini, saya dengar rakan-rakan saya bersorak dan ia memberikan saya semangat untuk menang emas.
"Dahulu saya pernah terfikir untuk berhenti kerana terlalu penat tetapi apabila melihat prestasi saya semakin meningkat, saya memilih untuk meneruskannya."