Atlet Sukan Malaysia (Sukma) yang mewakili Kedah, Nurul Nabilah Mohd Asri, menambah koleksi emas peribadi selepas menjuarai acara scratch race untuk mengumpul lima pingat emas secara keseluruhan termasuk satu perak dan dua gangsa.
Namun, kehandalan Nabilah di Velodrom Nasional, Nilai, hari ini bukanlah terletak kepada pingatnya sahaja, lima emas yang diraih datang daripada tiga disiplin berbasikal; satu emas daripada berbasikal bukit, dua daripada berbasikal lebuh raya dan dua lagi dari berbasikal trek meletakkan dirinya sebagai potensi calon Olahragawati Sukma 2026.
"Ini pencapaian besar buat saya, saya tidak sangka sangat.
"Saya gembira dapat bawa pulang lima emas, satu perak dan dua gangsa buat Kedah," katanya.
Baginya, sekiranya dinobatkan, ia adalah bonus buat dirinya dan akan menjadi penutup karier Sukma yang gemilang, namun tidaklah meletakkan harapan tinggi dengan tumpuannya ketika ini cuba menemppatkan diri ke dalam skuad kebangsaan terlebih dahulu.
"Kalau dinamakan Olahragawati, saya anggap ia sebagai rezeki memandangkan ini penyertaan terakhir saya dalam Sukma," katanya.