Kelab Liga Perdana Inggeris, Burnley, mengumumkan perpisahan dengan ketua jurulatih, Scott Parker, selepas pasukan itu disahkan tersingkir ke Liga Kejuaraan.
Keputusan tersebut dicapai secara persetujuan bersama antara Parker dan pihak pengurusan kelab, susulan prestasi hambar Burnley sepanjang musim 2025/26 yang menyaksikan mereka hanya meraih empat kemenangan daripada 34 perlawanan liga.
Advertisement
Penurunan Burnley disahkan selepas kekalahan kepada Manchester City, sekali gus menamatkan kempen yang menyaksikan mereka bergelut di kedudukan ke-19 dengan hanya 20 mata.
Ironinya, Parker sebelum ini berjaya membawa Burnley kembali ke Liga Perdana Inggeris menerusi musim luar biasa di Championship dengan 100 mata, namun gagal mengulangi prestasi sama di pentas tertinggi.
Susulan pemecatannya, pembantu jurulatih, Michael Jackson atau lebih mesra disapa Mike Jackson, dilantik sebagai pengendali sementara bagi mengharungi baki empat perlawanan musim ini sementara kelab memulakan pencarian pengurus baharu.
Parker dalam kenyataannya meluahkan rasa bangga dengan tempoh perkhidmatannya bersama Burnley, khususnya kejayaan membawa kelab itu kembali ke liga utama, sambil mengucapkan terima kasih kepada pemain, staf dan penyokong.
Perkembangan ini sekali lagi mencerminkan cabaran besar yang dihadapi kelab-kelab ‘yo-yo’ -- naik dan turun antara liga -- dalam mengekalkan konsistensi di saingan tertinggi bola sepak England.