Barisan pelari Malaysia mencatat pencapaian membanggakan dalam Scenic Half Marathon Krabi 2026 apabila meraih beberapa kedudukan podium menerusi acara 10Kkm dan 21km di Krabi, Thailand, Ahad lalu.
Antara pencapaian utama hadir menerusi pelari jarak jauh negara dan pemegang rekod kebangsaan, Prabudass Krishnan, yang muncul sebagai juara keseluruhan lelaki 10km.
Turut mencipta kejayaan ialah Juliana, yang mengungguli saingan wanita untuk muncul sebagai juara keseluruhan wanita 10km, manakala Man Toge melengkapkan pencapaian podium keseluruhan dengan meraih tempat ketiga bagi kategori lelaki 10km.
Turut mencatat keputusan membanggakan dalam acara 10km ialah Nuyyin yang meraih tempat pertama bagi kategori umur.
Bagi acara 21KM Half Marathon, Juju pula menduduki tempat kedua dalam kategori umur, sekali gus melengkapkan pencapaian positif barisan pelari Malaysia sepanjang kejohanan di Krabi.
Penyertaan ke Krabi ini merupakan sebahagian daripada kempen yang dibawa oleh jenama tempatan Zeroless, dengan sokongan diberikan kepada atlet dan pelari Malaysia bagi menyertai kejohanan tersebut di peringkat antarabangsa.
Menurut Pengasas Zeroless, Muhammad Aizat, penyertaan ini merupakan antara usaha jenama itu untuk memainkan peranan lebih aktif dalam pembangunan komuniti sukan tempatan.

Diharapkan pencapaian ini dapat memberi lebih banyak pendedahan kepada pelari tempatan serta membuka peluang kepada mereka untuk menyertai lebih banyak acara kompetitif di peringkat serantau dan antarabangsa.
Pencapaian tersebut menjadi satu lagi perkembangan positif buat komuniti larian Malaysia, khususnya apabila pelari negara mampu mencatat keputusan cemerlang dan berdiri di podium dalam pertandingan di luar negara.