Skip to main content

Bola Sepak

Saya terkejut -- Vidakovic buntu direhatkan KL City

risto vidakovic

"Saya terkejut dan tidak faham punca keputusan ini," kata ketua jurulatih KL City, Risto Vidakovic, yang kini diarahkan menjalani 'cuti khas' sebaik menerima keputusan yang disampaikan kepadanya menerusi aplikasi WhatsApp pada 10 April lalu.

Suratnya pula sudah diserahkan kepada peguam peribadi Vidakovic, yang meminta pihak KL City menyatakan sebab dan penerangan lebih jelas berhubung keputusan yang telah diambil itu.

Advertisement

Baginya, tindakan terburu-buru pengurusan KL City ketika pertengahan perlawanan di antara KL City dan Kelantan TRW pada tarikh berkenaan dianggap tidak masuk akal.

"Saya menantikan penjelasan daripada pihak kelab kerana kami hanya mahu mengetahui sebabnya, kenapa saya diberikan cuti khas sehingga penghujung musim?" katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

"Kerana hanya tinggal tiga perlawanan sahaja lagi dan saya menantikan sesuatu untuk didengari daripada pihak kelab.

"Ketika ini, saya tidak boleh bekerja, saya tidak boleh menyertai latihan dan hanya menunggu."

Vidakovic menambah dia menerima keputusan berkenaan dengan hati terbuka.

Secara sinis, dia menegaskan bahawa dia kini sedang menempuh percutian yang berbayar sehingga tamat musim ini.

"Saya bukan mencari masalah, saya berada di sini untuk bekerja dan menjalankan tugas saya.

"Saya rasa kami memiliki musim yang hebat dan kami telah melakukan tugas yang baik.

"Saya mahu mengekalkan semua itu kerana saya memiliki memori yang baik di sini, saya berjumpa dengan ramai orang baik di sini.

"Kami memiliki suasana yang baik dalam pasukan dan kami memecahkan pelbagai rekod kelab ini dalam tempoh setahun.

"Jadi, saya tidak faham apa yang sedang berlaku tetapi saya tidak mahu memikirkannya," katanya lagi.

 

Must Watch Video