Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva, tampil mencuri perhatian apabila menggunakan bahasa Melayu selepas membuat penampilan sulung secara rasmi sebagai pemain tempatan dalam saingan Liga Malaysia 2026/27.
Bergson yang kini berstatus pemain naturalisasi negara turut membantu JDT memulakan musim dengan kejayaan apabila menewaskan Kuching City 3-0 dalam aksi Sumbangsih untuk menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah.
Lebih menarik, pemain kelahiran Brazil itu menunjukkan perkembangan positif dalam penguasaan bahasa Melayu apabila menyampaikan komennya selepas perlawanan dengan ayat ringkas tetapi cukup mencuri perhatian.
"Saya bangga bermain untuk JDT, gembira juga untuk meraih satu lagi trofi bersama pasukan. Kami sudah bersedia menghadapi satu lagi musim," katanya.
"Saya terus cuba untuk belajar dan bercakap dalam bahasa Malaysia. Saya diajar oleh seorang guru bahasa peribadi serta cuba bercakap bersama rakan sepasukan."
Status baharunya sebagai pemain tempatan bukan sahaja memberi dimensi berbeza buat JDT, malah membuka peluang buat Bergson menggalas tanggungjawab bersama Harimau Malaya.
Bergson turut berkongsi harapan untuk membantu Malaysia merealisasikan impian melangkah ke Piala Dunia 2030 sekiranya diberi kepercayaan menyarung jersi kebangsaan.
Dia berkata lagi, "Semua mampu bermimpi dan kami harus terus berusaha dan memberikan yang terbaik."
Selepas bertahun-tahun menjadi antara penyerang paling prolifik dalam Liga Malaysia, pengalaman dan ketajaman Bergson kini boleh menjadi aset tambahan buat skuad negara.
Kejayaan JDT menewaskan Kuching City 3-0 pula menjadi permulaan sempurna buat Bergson dalam era baharunya sebagai pemain tempatan.