Skip to main content

Olimpik

‘Saya ketagih pornografi ketika buat persiapan hadapi Sukan Olimpik’ -- bekas penerjun dedah sisi gelap

‘Saya ketagih pornografi ketika buat persiapan hadapi Sukan Olimpik’ -- bekas penerjun

Bekas penerjun Olimpik Great Britain, Freddie Woodward, mendedahkan dia pernah bergelut dengan ketagihan pornografi sejak usia 12 tahun, termasuk ketika membuat persiapan untuk beraksi di Sukan Olimpik Rio 2016.

Woodward dari Sheffield, berkata masalah itu bermula ketika zaman kanak-kanak dan semakin sukar dikawal apabila dia meningkat dewasa.

Kemuncaknya, dia boleh mengakses kandungan berkenaan sehingga 10 kali sehari, malah mengakui pernah melakukannya ketika menjalani latihan sebagai atlet elit.

“Saya rasa jijik dan malu dengan diri sendiri. Ia menjadi sesuatu yang saya gunakan untuk melarikan diri apabila berdepan tekanan, termasuk selepas menjalani sesi latihan yang tidak berjalan seperti diharapkan,” katanya.

Woodward mula menceburi sukan terjun pada usia tujuh tahun selepas bakatnya dikesan di sekolah rendah. Dia kemudian berkembang menjadi atlet antarabangsa sebelum mewakili Great Britain di Rio 2016.

Bagaimanapun, kejayaan di kolam terjun tidak menghilangkan pergolakan peribadi yang dihadapinya.

Selain ketagihan, Woodward turut berdepan masalah kesihatan mental dan pernah berkongsi bahan peribadi dengan individu yang dikenalinya melalui internet. Bahan berkenaan kemudiannya tersebar tanpa kebenarannya sehingga menjejaskan hubungan peribadinya.

“Saya sangat malu dan hancur. Saya tidak tahu bagaimana hendak menghadapinya, tetapi yang paling mengecewakan ialah saya masih tidak mampu berhenti,” katanya.

Woodward berkata dia mengambil masa kira-kira enam tahun untuk benar-benar keluar daripada kitaran tersebut sebelum berjaya mengubah kehidupannya tahun lalu.

Menurutnya, perubahan penting berlaku apabila dia tidak lagi melihat dirinya sebagai seseorang yang sedang “cuba berhenti”, sebaliknya mula membentuk identiti baharu sebagai individu yang tidak lagi bergantung kepada pornografi.

Kini, bekas atlet itu menghasilkan kandungan mengenai pengembaraan, makanan dan budaya bersama teman wanitanya, Chika Izumi, bekas anggota skuad renang artistik kebangsaan Jepun.

Izumi yang mengenali Woodward ketika mereka bekerja sebagai penghibur akuatik di kapal persiaran berkata dia bangga dengan keberanian pasangannya berkongsi pengalaman tersebut.

“Saya tahu dia boleh membantu ramai lelaki dan golongan muda. Saya tidak percaya betapa beraninya dia menceritakan perkara ini kepada dunia,” katanya.

Pendedahan Woodward hadir ketika isu penggunaan pornografi secara berlebihan semakin mendapat perhatian di Britain.

Tinjauan Persatuan Kaunseling dan Psikoterapi Britain (BACP) terhadap kira-kira 3,000 ahlinya mendapati 53 peratus mereka yang bekerja dengan lelaki melaporkan peningkatan kes berkaitan pornografi.

Psikoterapis Dr Paula Hall turut menyifatkan isu berkenaan sebagai semakin membimbangkan dan memerlukan perbincangan terbuka, khususnya apabila penggunaan pornografi mula menjejaskan kehidupan, hubungan atau kesejahteraan seseorang.

Pada masa sama, kerajaan Britain terus memperketat langkah keselamatan dalam talian, termasuk mewajibkan syarikat teknologi mengambil langkah bagi menghalang kanak-kanak daripada mengakses atau berkongsi kandungan seksual secara dalam talian.

Bagi Woodward, berkongsi pengalaman lalu bukan sekadar mendedahkan sisi peribadinya, sebaliknya ia usaha untuk meyakinkan mereka yang berdepan masalah sama bahawa perubahan masih boleh dilakukan.

Anda mungkin berminat dengan

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

Must Watch Video

Advertisement