Jose Mourinho menyindir tindakan pemain Real Betis yang didakwa terlalu membesar-besarkan insiden jatuh ketika Real Madrid tewas 0-1 kepada pasukan itu dalam aksi LaLiga, awal pagi tadi.
Mourinho mengakui kecewa dengan apa yang disifatkannya sebagai sikap terlalu 'naif' pemain Real Madrid apabila berdepan situasi sedemikian.
Menurut pengendali kelahiran Portugal itu, pemain Betis lebih bijak menggunakan situasi di atas padang untuk mendapatkan kelebihan, termasuk dengan sokongan padu penyokong tuan rumah.
“Pemain Betis dalam hal ini lebih bijak daripada pemain Real Madrid. Pemain Real Madrid pula terlalu tulen dan naif.
“Dalam situasi pertama perlawanan, jelas berlaku terjahan yang sepatutnya dilayangkan kad kuning terhadap pemain yang mengasari Valverde. Seminit kemudian, satu lagi kad kuning sepatutnya diberikan selepas kekasaran ke atas Vinicius,” katanya.
Mourinho berkata, perbezaan ketara dapat dilihat apabila pemain Real Madrid terus bangun selepas dikasari, berbanding pemain Betis yang menurutnya lebih bijak menggunakan situasi berkenaan.
Namun, apabila ditanya sama ada beliau menganggap skuadnya kurang pengalaman dan daya saing, Mourinho menjelaskan bahawa istilah 'naif' yang digunakannya bukan bermaksud pemain gagal memberikan komitmen.
“Pasukan bekerja sangat keras dan saya tiada apa-apa untuk menyalahkan mana-mana pemain. Mereka memberikan segala-galanya.
“Apabila saya kata naif atau tidak berpengalaman, saya maksudkan situasi tertentu seperti kad kuning yang jelas,” katanya.
Mourinho kemudian memberikan satu contoh yang mengundang perhatian.
“Pada minit pertama ada pijakan pada kaki Fede Valverde dan dia kekal berdiri. Itu sesuatu yang saya banggakan sebagai kapten Real Madrid.
“Tetapi sebagai contoh dari pihak satu lagi, pemain Betis yang terbaring itu kelihatan seperti sudah mati di hadapan bangku simpanan kami.
“Saya ingat ambulans akan datang untuk membawanya keluar, tetapi akhirnya tidak perlu ambulans!” katanya.
Mourinho menegaskan situasi seperti itu menjadi antara faktor yang menyukarkan pasukannya apabila berdepan lawan yang mempunyai budaya dan pendekatan berbeza dalam permainan.
Kekalahan itu menyaksikan Real Madrid gagal mengutip mata penuh dalam perlawanan berkenaan selepas Betis memastikan kemenangan 1-0 di La Cartuja.