Kasih ibu tiada nilai yang mampu dibayar. Demi mahu melihat anaknya menjalani kehidupan harian yang normal, Rita Bong mengambil keputusan besar demi anak bongsu kesayangannya, Celynn Ho.
Keputusan menjual rumah demi menampung kos membuat implan pendengaran buat anaknya itu dianggap keputusan paling tepat.
Perbelanjaan implan pendengaran itu melebihi RM200,000 untuk sebelah telinga dan ia dipasang sejak Celynn berusia dua tahun lagi.
"Kami mengesan dia pekak ketika dia berusia 13 bulan," kata Rita kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
"Ketika itu, kami membuat keputusan untuk memasangkan implan tetapi ia amat mahal dan kami menjual rumah kami untuk memasang implan di sebelah telinganya."
Celynn hilang pendengaran sejak lahir tetapi ia bukan penghalang untuk dia cemerlang dalam setiap bidang diceburinya.
Dalam saingan Kejohanan Ping Pong Orang Pekak Malaysia hari ini, Celynn, yang baru berusia 14 tahun dari Sarawak, cemerlang menundukkan Choong Jia Xuan dari Pulau Pinang dengan keputusan 3-1.
Set pertama menyaksikan penguasaan Celynn untuk unggul mencatat mata pertama 11-5 sebelum Jia Xuan menyamakan kedudukan dalam set kedua dengan kemenangan 12-10.
Keadaan itu tidak dibiarkan Celynn untuk mengesahkan kemenangan 12-10 dalam set ketiga dan 11-8 dalam set keempat.