Skip to main content

Tinju

‘Saya datang bukan untuk berpeluk’ -- Benn, Garcia kembali ‘panas’ rebut gelaran dunia

‘Saya datang bukan untuk berpeluk’ --  Benn, Garcia kembali ‘panas’ rebut gelaran dunia

Perang psikologi antara Conor Benn dan Ryan Garcia semakin memuncak menjelang pertarungan kejuaraan dunia mereka apabila kedua-duanya 'perang mulut' ketika sidang media terakhir di Las Vegas.

Garcia yang memiliki rekod 25 kemenangan, dua kekalahan dan 20 kemenangan menerusi kalah mati (KO), bakal mempertahankan gelaran welterweight WBC buat kali pertama menentang Benn, esok.

Benn pula hadir dengan rekod 25-1, 14 KO, selepas menewaskan Regis Prograis pada April lalu sebelum melengkapkan misi membalas kekalahan terhadap Chris Eubank Jr.

“Saya datang ke Amerika bukan untuk berpeluk dengan awak. Jangan cuba peluk saya di sini,” kata Benn.

Garcia kelihatan lebih lantang sepanjang sidang media apabila melontarkan pelbagai sindiran terhadap lawannya.

Malah, ketika sesi berdepan antara kedua-dua petinju, Garcia terus bercakap sebelum Benn sekadar meletakkan jari di bibirnya sebagai isyarat supaya lawannya diam sebelum meninggalkan pentas.

Garcia turut mendakwa Benn mungkin menggunakan taktik kotor apabila pertarungan bermula.

“Dia akan cuba sedaya upaya. Kita tahu itu. Mungkin dia terpaksa menggunakan taktik kotor, jadi kami sudah bersedia.

“Kami hanya akan melakukan apa yang kami lakukan dengan baik — kekal tajam, bersedia untuk apa sahaja dan memberikan persembahan hebat,” katanya.

Pertarungan itu turut menyaksikan Benn berdepan cabaran besar untuk menurunkan berat badan selepas dua kali bertemu Eubank Jr di kelas middleweight.

Penampilan terakhirnya dalam had welterweight 10 stone 7 paun (67.1kg) adalah ketika menentang Chris van Heerden pada April 2022.

Namun, Benn tidak bimbang dengan cabaran tersebut dan menegaskan fokusnya hanya kepada persiapan sendiri.

“Saya tidak risau. Saya tidak fokus kepadanya atau apa yang dilakukannya. Saya fokus kepada diri sendiri.

“Saya membawa ketabahan, keganasan, keazaman dan pengalaman. Saya sudah berada di pentas besar sebelum ini dan pernah bertarung di hadapan 70,000 penonton sebanyak tiga kali berturut-turut,” katanya.

Garcia kemudian kembali mempersoalkan kemampuan Benn mencapai had berat ditetapkan, malah mendakwa lawannya perlu menghabiskan masa di dalam tab mandi atau menggunakan basikal statik untuk menurunkan berat.

Benn bagaimanapun membalas ringkas dengan meminta Garcia memberi tumpuan kepada dirinya sendiri.

“Dia nampaknya sudah mempunyai cukup banyak masalah. Kita lihat siapa yang berjaya mencapai berat ditetapkan esok,” katanya.

Kedua-dua petinju turut mempunyai sejarah kontroversi berkaitan isu doping.

Garcia pernah positif bahan terlarang ostarine pada 2024, manakala penggantungan sementara Benn susulan dua kegagalan ujian doping pada 2022 kemudian ditarik balik pada tahun yang sama.

Sidang media itu turut diceriakan dengan kemunculan mengejut juara welterweight WBA, Teofimo Lopez, yang memakai janggut palsu dan memperkenalkan dirinya sebagai ‘Jack Hoffman’ ketika bertanya soalan dari kalangan penonton.

Segala perang mulut bagaimanapun bakal berakhir apabila Benn dan Garcia bertemu di gelanggang, dengan gelaran dunia serta maruah masing-masing menjadi taruhan.

Anda mungkin berminat dengan

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Must Watch Video

Advertisement