Pemanah compound negara, Juwaidi Mazuki pasang misi penting 22 hari menuju Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 -- untuk mengakhiri kemarau pingat dalam acara individu pada penampilan keempatnya di temasya ini.
Pingat acara individu ini menjadi sasaran peribadi Juwaidi kali ini kerana sejak penampilan pertamanya di Sukan Asia Incheon 2014 lalu, dia hanya berjaya meraih pingat gangsa dalam acara berpasukan pada edisi Jakarta-Palembang 2018 dan Huangzhou 2022.
"Saya belum pernah sentuh pingat individu, jadi saya letak sasaran di situ. Untuk acara berpasukan pula, sama ada kita kekalkan pencapaian sebelum ini atau buat lebih baik kerana barisan pemanah kali ini ada beberapa muka baharu, Ujar pemanah 36 tahun ini yang ditemui di sesi lawatan Timbalan Ketua Kontinjen ke venue skuad memanah di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara Nilai hari ini.
Fokus ketika ini adalah untuk memastikan aspek teknik dan peralatan berada pada tahap terbaik sebelum skuad memanah negara menjalani kem latihan di Korea Selatan bermula 5 September ini.
"Kita cuba siapkan apa yang mampu sebelum ke kem latihan supaya di sana kurang kerja pada 'shooting form' dan lebih kepada mengekalkan aspek teknikal.
"Bahagian teknikal sangat penting. Kita mahu pastikan sehari sebelum penerbangan semua sudah bersedia kerana peralatan juga boleh berubah ketika dalam penerbangan disebabkan tekanan cabin", kata Juwaidi.