Permulaan Ramadan 2026 juga merupakan permulaan baharu bagi jaguh lompat bergalah wanita negara, Nor Sarah Adi, yang bergelut dengan kecederaan tahun lalu.
Fokus utamanya kini adalah meningkatkan tahap fizikal, lebih-lebih lagi bahagian buku lali yang sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan, meskipun perlu menghadapi latihan intensif pada bulan puasa ini.
Advertisement
Ia, juga selaras dengan sasaran peribadi Sarah untuk cuba mendakap pingat dalam Sukan Asia Aichi-Nagoya tahun ini.
"Saya sedang berfikir dahulu. Hampir dua tahun saya menghadapi proses pemulihan.
"Jadi, saya sudah lupa bagaimana cara latihan dalam bulan puasa.
"Saya boleh atau tidak. Tetapi jurulatih telah merangka jadual latihan.
"Ia melibatkan sesi latihan pagi, petang dan malam. Termasuk teknik lompatan," katanya kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizam.
Menjelang kejohanan pembukaan tahun ini dalam Kejuaraan Lompat Bergalah Antarabangsa Taiwan, ada perasaan bercampur baur apabila perlu mengorbankan hari raya kali ini kerana kejohanan tersebut akan berlangsung pada Aidilfitri.
"Tahun lalu saya boleh beraya. Ini adalah pengorbanan.
"Lumrah menjadi seorang atlet harus bersedia sepanjang masa.
"Alhamdulillah, kali ini boleh berpuasa lama sedikit dengan keluarga.
"Namun, hari raya tidak bersama keluarga kerana kita akan bertanding dalam kejohanan," katanya lagi.