Skip to main content

Ragbi

SAR: SSMP susun strategi baru, sasar pertahan kejuaraan

Yusli Ashan jurulatih SSMP

Pasukan ragbi Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) menyusun beberapa strategi menjelang saingan musim baru Super Academy Rugby (SAR), dengan menampilkan lima muka baru selain mengadakan perlawanan persahabatan sebagai persiapan awal.

Jurulatih SSMP, Yusli Ashan, berkata perlawanan ujian yang diadakan penting untuk menilai tahap kesiapsiagaan pemain sebelum aksi sebenar bermula.

Advertisement

“Tujuan kita mengadakan perlawanan ujian adalah untuk melihat bagaimana pemain bergerak sebagai satu pasukan dan bermain mengikut perancangan taktikal serta praktikal yang telah dirangka.

“Kita juga mahu menilai keserasian pemain, kerjasama berpasukan dan kemahiran unit yang telah dibina sepanjang latihan tiga hingga empat minggu lalu,” katanya.

Sementara itu, ketua pasukan, Aniq Hafizi, yakin SSMP sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi saingan musim ini, dengan misi utama adalah untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi sebelum ini.

“Jika melihat kepada pasukan yang telah dirancang, saya yakin 100 peratus semua pemain sudah bersedia untuk SAR dan perlawanan seterusnya,” katanya.

Beliau turut percaya kehadiran lima pemain baharu tidak menjejaskan keserasian pasukan.

“Insyallah bagi kumpulan pemain kali ini kita mampu mengekalkan kejuaraan yang dimenangi sebelum ini.

Lima pemain baharu yang menyertai pasukan juga mempunyai keserasian yang baik dan sudah memahami asas permainan,” katanya lagi.

Dalam aksi persahabatan pertama musim ini, SSMP berjaya mencatat kemenangan 14-10 ke atas Shah Alam Antlers.

Kemenangan tersebut memberi petanda positif terhadap persiapan SSMP menjelang aksi pembukaan SAR pada 18 April hadapan.
 

Topik Berkaitan

Must Watch Video