Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) memandang serius polemik susulan kritikan dan kenyataan Datuk Mohd Azizulhasni Awang serta John Beasley terhadap pengamal media sukan Malaysia. SAM berpandangan bahawa perbezaan pendapat perlu ditangani secara profesional tanpa merendahkan martabat individu atau profesion kewartawanan.
SAM menghormati hak atlet, jurulatih dan semua pihak berkepentingan untuk menyuarakan pandangan serta memberikan maklum balas terhadap sesuatu laporan. Namun, hak tersebut perlu disertai sikap saling menghormati, terutama apabila melibatkan penulisan, pandangan dan kritikan yang dikemukakan oleh pengamal media dalam menjalankan tanggungjawab mereka.
Presiden SAM, Norismadi Abd Manap, berkata media memainkan peranan penting sebagai penghubung antara semua pemegang taruh sukan, termasuk atlet, pegawai, persatuan sukan, Majlis Sukan Negara (MSN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Institut Sukan Negara (ISN) serta rakan penaja.
“Media bukan sekadar melaporkan keputusan pertandingan, sebaliknya menjadi penghubung yang menyampaikan maklumat, pandangan dan perkembangan kepada seluruh ekosistem sukan negara. Peranan ini perlu dihormati, sebagaimana media juga perlu menghormati setiap pihak yang menjadi sumber dan subjek pemberitaan,” katanya.
SAM menegaskan bahawa penulisan media profesional tidak dibuat secara sembarangan, sebaliknya berasaskan bukti dan fakta yang diperoleh menerusi temu bual, semakan maklumat, kajian serta rujukan kepada sumber berkaitan. Sekiranya terdapat kesilapan fakta atau konteks yang tidak tepat, pihak terlibat wajar mengemukakan bukti dan penjelasan bagi membolehkan perkara tersebut diteliti secara adil.
Pada masa sama, SAM berpandangan bahawa kritikan terhadap sesuatu penulisan seharusnya disampaikan secara terus kepada individu berkenaan melalui saluran yang sesuai. Kritikan secara umum yang boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap keseluruhan pengamal media, apatah lagi jika berbaur penghinaan, tidak membantu menyelesaikan pertikaian dan berpotensi menjejaskan hubungan profesional antara media dengan komuniti sukan.
“Jika ada rasa tidak puas hati terhadap sesuatu laporan, hubungilah penulis atau pihak media berkenaan untuk mendapatkan penjelasan. Jika terdapat fakta yang salah, kemukakan bukti untuk diperbetulkan. Kita boleh berbeza pandangan, tetapi perbezaan itu tidak sepatutnya menjadi alasan untuk menghina atau membuat generalisasi terhadap seluruh profesion media sukan,” kata Norismadi.
Sehubungan itu, SAM percaya bahawa setiap pertikaian mempunyai ruang penyelesaian sekiranya pihak terlibat bersedia berkomunikasi secara terbuka dan profesional. SAM sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan, penjelasan atau luahan daripada kedua-dua pihak, termasuk Datuk Azizulhasni dan John Beasley, serta bersedia menjadi platform perbincangan bagi merapatkan jurang perbezaan sekiranya dipersetujui semua pihak.
SAM berharap isu ini dapat diselesaikan secara matang tanpa memanjangkan polemik yang boleh menjejaskan hubungan antara pengamal media, atlet dan komuniti sukan. Semua pihak perlu kembali memberikan tumpuan kepada usaha memperkukuh ekosistem sukan Malaysia dengan berpegang kepada prinsip saling menghormati, ketepatan fakta, kritikan yang bertanggungjawab dan kesediaan mencari penyelesaian bersama.