Presiden Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan, menyifatkan pentas Piala Raja Thai 2026 yang melabuhkan tiranya semalam sebagai medan terbaik buat barisan pemain muda negara meraih pengalaman berahrga beraksi di saingan berintensiti tinggi.
Dia mengakui tidak kecewa dengan keputusan yang diraih anak buah Ahmad Jais Baharun di Bangkok itu, sebaliknya Sumali percaya peluang wajar diberikan kepada semua pemain bagi membuktikan kemampuan masing-masing.
Ketika ditanyakan mengenai sasaran kem sepak takraw di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, dia yang juga Chef De Mission (CDM) menyasarkan satu pingat emas disumbangkan oleh skuad lelaki negara.
Untuk rekod, di Piala Raja Thai 2026, Malaysia berjaya membawa pulang satu pingat perak menerusi acara regu berpasukan lelaki, manakala dua gangsa diraih dalam acara regu lelaki dan regu berpasukan wanita.
"Saya lihat satu pendedahan yang baik, mereka tidak pernah beraksi di peringkat antarabangsa seperti itu, berdepan Thailand pula sudah pasti ini cabaran buat mereka untuk menambah baik.
"Ini gambaran bahawa kematangan itu penting, saya rasa lagi setahun jika mereka terus diberikan pendedahan begini mereka akan sama tahap dengan pemain senior dan pemain negara lain.
"Untuk Sukan Asia saya masih belum dapat ilham berapa sasaran, semestinya masyarakat mahu emas tetapi lihat bagaimana nanti, sekurang-kurangnya satu pingat emas untuk sepak takraw." tambahnya.