Pemain berdarah kacukan Malaysia-Itali, Sean Gan Giannelli, sah mengumumkan persaraan daripada dunia bola sepak menerusi perkongsian di Instagramnya malam tadi.
Bekas tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) II itu akhirnya menggantung but selepas hampir 13 tahun berada dalam industri sebelum meninggalkan karier pada umur 29 tahun.
Untuk rekod, Giannelli tidak pernah memiliki sebarang penampilan bersama Harimau Malaya walaupun dilahirkan di Malaysia dan memiliki pertalian darah dari Itali menerusi bapanya.
Tinjauan di transfermarkt menyaksikan dia mencatat 57 penampilan dalam Liga Super dengan Kuala Lumpur (KL) City kelab paling banyak menerima peluang beraksi.
Bekas tonggak Sri Pahang itu juga sempat menyertai kelab A1 Semi-Pro, Universiti Malaya (UM)-Damansara United, pada tahun lalu sebelum memuktamadkan perjalanan Ogos lalu.