Bahkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) turut menghukum mereka.
Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sah menolak sepenuhnya rayuan Persib Bandung berikutan faktor keselamatan pencerobohan peminat memasuki padang dalam kempen pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) pada 18 Februari sewaktu menentang Ratchaburi di Gelora Bandung Lautan Api (GBLA) musim lalu.
Kelab Indonesia wajib kekal membayar denda keseluruhan sebanyak US$200,000 dan menjalani hukuman tanpa penonton di tempat sendiri dalam perlawanan musim akan datang.
Pasukan itu telah diperintahkan untuk menyelesaikan bayaran denda terbabit dalam tempoh 30 hari daripada notis.
Pangeran Biru memenangi perlawanan kedua 1-0 di GBLA, tetapi keputusan itu tidak mampu menewaskan defisit tiga gol pihak lawan, sekali gus tersingkir daripada kejohanan.
Penyingkiran itu mencetuskan kekecewaan di kalangan penyokong dengan pergolakan tercetus di stadium selepas perlawanan.
Persib dijadualkan menentang Manila Digger dalam playoff ACL2 2026/27 pada 31 Ogos 2026 ini.
Perlawanan itu akan dimainkan secara tertutup di sebuah stadium.
Bagaimanapun, penggantungan perlawanan kedua di tempat sendiri telah diletakkan di bawah tempoh percubaan selama dua tahun.
Di bawah peraturan AFC, jika Persib melakukan kesalahan yang serupa semasa tempoh percubaan, langkah tatatertib tambahan mungkin akan diambil.
Dalam masa sama, FIFA dilaporkan sekali lagi menjatuhkan hukuman sekatan perpindahan atau 'transfer ban' bagi tempoh tiga kali jendela perpindahan terhadap gergasi negara jiran itu.
Pada bulan Mac lalu, Persib turut dikenakan hukuman hampir serupa dilaporkan berhubung isu penamatan kontrak bekas pemain dilepaskan lebih awal sehingga kes itu dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Laman rasmi juara Indonesia itu berkongsikan ia berkaitan kes lama yang berlaku pada 2022 susulan laporan daripada bekas pelatih, Robert Rene Alberts.