Dua lagi bintang Johor Darul Ta'zim (JDT) dipanggil oleh skuad kebangsaan masing-masing menjelang siri perlawanan antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) minggu ini.
Shahab Zahedi disenaraikan buat kali pertama sejak 2023 oleh pasukan Iran selepas menampilkan prestasi memukau bersama Harimau Selatan setakat ini.
Dia akan bergabung dengan beberapa pemain Piala Dunia 2026 menghadapi dua aksi persahabatan menentang Uzbekistan dan Rusia.
Untuk rekod, satu-satunya penampilan penyerang berusia 31 tahun itu bersama Iran pada 2023 dalam Kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) bertemu Kyrgyzstan.
Sepanjang lapan penampilan bersama skuad kendalian Xisco Munoz, Zahedi telah menjaringkan 10 gol setakat ini.
Satu lagi nama iaitu Carlos Akapo turut mendapat tempat dalam senarai negara Equatorial Guinea.
Akapo bukanlah asing dalam skuad negara itu apabila sudah merekodkan 47 penampilan sepanjang kariernya dengan debut pada 2013.
Ini menjadikan sebanyak 11 pemain JDT akan mewakili negara masing-masing dengan sembilan daripanya menyarung jersi Harimau Malaya menjelang Piala ASEAN FIFA 2026 di Jakarta dan Bandung, Indonesia dari 25 September hingga 5 Oktober 2026.