Jenama kraf piuter terkemuka negara, Royal Selangor, terus memperkukuh komitmen jangka panjangnya terhadap pembangunan sukan permotoran digital menerusi kerjasama strategik bersama e-Racing GP (Sim Racing) yang dikendalikan Axle Sports, syarikat milik bekas pelumba Formula Satu negara, Alex Yoong.
Kerjasama yang terjalin sejak 2019 itu menyaksikan Royal Selangor kekal sebagai penaja rasmi trofi bagi kedua-dua kejohanan utama e-Racing GP, iaitu Global Edition dan Endurance Edition, sekali gus mencerminkan sokongan berterusan syarikat terhadap pembangunan ekosistem sukan digital di Malaysia.
Menurut Pengarah Urusan Royal Selangor, Datuk Yong Yoon Li, pelaburan berterusan itu dibuat kerana syarikat percaya platform seperti e-Racing GP mampu menjadi medan melahirkan pelumba profesional pada masa hadapan.
Keberkesanan platform itu dapat dilihat menerusi kejayaan beberapa pelumba yang memulakan langkah dalam dunia perlumbaan simulasi sebelum mencipta nama di litar sebenar.
Antara contoh terbaik ialah Naquib Azlan, yang kini bersaing dalam Porsche Carrera Cup Asia, manakala adiknya Nabil Azlan pula sedang mendahului kejuaraan perlumbaan tempatan.
“Saya telah lama mengenali Alex, menyaksikan dia memasuki saingan permotoran amat sukar atas faktor kewangan. Namun kini lebih mudah dengan beraksi menerusi e-racing.
"Kami telah memberikan sokongan kepada Axle Sports sejak 2019, bukan sahaja memberikan sokongan kepada penganjuran, namun memberi sokongan daripada segi meningkatkan lagi minat dan mahu lebih ramai bakat muda menceburi bidang ini."
Perkembangan tersebut membuktikan perlumbaan simulasi bukan lagi sekadar hobi, sebaliknya menjadi laluan pembangunan bakat yang mampu menyediakan pelumba dengan kemahiran teknikal, strategi perlumbaan dan daya saing sebelum beralih ke dunia perlumbaan sebenar.
Dengan sokongan berterusan daripada Royal Selangor dan Axle Sports, e-Racing GP dijangka terus memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan ekosistem sukan permotoran digital negara serta melahirkan lebih ramai pelumba Malaysia yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.