Biar mimpi sampai ke bintang.
Atlet lelaki termuda di bawah Program Pelapis Kebangsaan, Muhammad Hafiy Darwisy Mohd Hadri, tidak menyangka keterpaksaan menceburi sukan boling padang pada usia 11 tahun atas dorongan ibu, kini menjadi bahagian penting dalam hidupnya.
Perjalanan pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin Ladang, Kuala Terengganu, itu turut berkembang pesat apabila menyertai skuad pelapis negara hasil prestasi cemerlang dalam Sukan Malaysia (Sukma), Ogos lalu.
Pingat perak yang dihadiahkan buat kontinjen Terengganu menjadi tiket buat Hafiy menyarung jersi pelapis kebangsaan dan dianggap sebagai batu loncatan terbesar memburu slot ke dalam skuad utama negara.
"Saya mula bermain sukan ini pada umur 11 tahun, ibu yang paksa. Sebelum ini tak tahu pun kewujudan sukan ini.
"Kemudian saya mengikuti sepupu sebelah ibu untuk bermain boling padang hingga diserap dalam pasukan pelapis Terengganu pada umur 13 tahun.
"Saya mewakili negara dalam Sukma pada umur 16 tahun," katanya.
Emas acara pairs lelaki dalam The Royal Patron’s Cup 2026 menjadi pembakar semangat buatnya untuk terus konsisten manfaatkan peluang mewakili negara di pentas antarabangsa.
"Saya memang gembira dan terkejut untuk main Malaysia.
"Idola saya adalah pemain Sukma Terengganu, Idham Amin Ramlan, yang memenangi tiga pingat emas, saya nak jadi macam dia.
"Saya bersekolah macam biasa dan berlatih pada sebelah petang sebelum buat mengulang kaji pelajaran pada malamnya
"Saya akan berlatih lebih gigih lagi untuk mendapatkan lebih banyak pencapaian dalam sukan ini," katanya.