Status selaku pemain wanita nombor satu dunia meletakkan jaguh boling padang negara, Emma Firyana Saroji, sebagai prospek pingat menjelang penganjuran sulung Kejohanan Terbuka Malaysia The Royal Patron's Cup bermula 25 Oktober depan.
Selaku pemain di ranking teratas, Emma Firyana tidak terlepas daripada tekanan, ditambah cabaran beraksi di venue berlainan, iaitu Kompleks Sukan Gong Badak, Terengganu.
Bagaimanapun, dia menyifatkannya sebagai sesuatu yang positif untuk memacu prestasi terbaiknya semasa bertanding.
Emma Firyana bakal beraksi dalam tiga acara, iaitu singles, pairs wwanita bersama Alyani Jamil, dan pairs campuran bersama bekas pemain nombor satu dunia, Izzat Shameer Dzulkeple.
"Ada sedikit yang perlu diperbaiki kerana kami bukan bermain di Bukit Kiara, kami bermain di Terengganu," katanya kepada wartawan Astro Arena, Ainul Abd Rouf.
"Padang di Terengganu ada sedikit cabaran berbeza mengenai cara untuk mengawal emosi dan mental kerana kami akan bermain secara indoor dan outdoor."
The Royal Patron's Cup bakal menghimpunkan 250 peserta dari sembilan negara selain turut menerima pengiktirafan daripada World Bowls sebagai acara bertaraf emas yang menawarkan mata ranking rasmi dunia kepada semua peserta.