JARUM jam menunjukkan 9.40 pagi. Di surau Al Munnawarah, Seksyen 13 Shah Alam, Isnin lalu, wajah Tan Sri Hamidin Mohd Amin kelihatan sugul.
Bersila di saf pertama di sudut sebelah kiri imam, mulutnya kumat kamit membaca ayat suci Al Quran, niat ganjarannya ditujukan buat Allahyarham Rosman Mohd Ibrahim yang menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 63 tahun di Hospital Shah Alam pada jam 5.36 petang, Ahad 9 Ogos.
Diapit oleh Orang Besar Daerah Petaling yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Naib Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Emran Kadir serta bekas penolong setiausaha agung FAS, Hamdan Hashim, Hamidin bersama hadirin membacakan tahlil sambil menunggu jenazah dikafankan.
Tentunya minda Hamidin menayangkan semula momen-momen persahabatan dan setiakawan merentasi tiga dekad dengan Rosman.
Rosman, bagi Hamidin seisi keluarga, bukan sekadar jiran. Rosman dan keluarganya menetap selang dua rumah dari Hamidin, tidak jauh dari surau yang menjadi persinggahan terakhir jenazah sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21.
Rumah Hamidin kini didiami anak sulungnya, Najib dan betul-betul berdepan dengan Stadium Shah Alam yang dalam proses pembinaan semula.
Persahabatan mereka bermula lama sebelum itu. Rosman berjiran dengan isteri Hamidin, Puan Sri Norliza Othman, di Sungai Way. Keluarga Rosman memiliki kedai runcit tidak jauh dari rumah keluarga Norliza.
Kebetulan Hamidin dan Rosman sama-sama aktif dalam Kelab Penyokong Selangor dan masing-masing menguruskan pasukan bola sepak di pejabat. Hamidin mengurus pasukan Perwira Habib Bank manakala Rosman orang kuat di sebalik pasukan New Straits Times dan pengurus Abadi FC dalam Liga FAS. Pada majlis perkahwinannya, Hamidin terkejut apabila Rosman antara yang hadir.
Takdir menentukan jalinan persahabatan itu melangkaui pelbagai sempadan. Hamidin dan Rosman meniti ranjau kehidupan sebagai penyokong, pentadbir di FAS dan akhirnya di FAM.
Selepas meninggalkan jawatan eksekutif Sumber Manusia New Straits Times Press (NSTP) pada tahun 2000, Rosman menyertai Hamidin dalam tadbir urus FAS secara sepenuh masa.
Bermula sebagai penolong setiausaha agung, beliau kemudian dilantik sebagai Pengurus Perniagaan FAS pada 2004, mengendalikan stesen minyak Petronas milik persatuan. Rosman juga mengetuai Jawatankuasa Pengadil, mengurus skuad futsal wanita Selangor dan bertanggungjawab terhadap keselamatan skuad Liga Super.
Rutin mereka menaiki satu kenderaan ke perlawanan di gelanggang lawan, kadangkali ditemani Hamdan, Timbalan Presiden FAS, Datuk Mokhtar Ahmad atau bendahari FAS, Datuk S. Sivasundaram.
Najib, 34, mengimbas kenangan:
“Disebabkan Ayah sibuk dengan tugasannya, saya menonton perlawanan membabitkan Selangor dengan Allahyarham Uncle Rosman dan anak-anaknya.
“Anak bongsunya Nazrin sebaya saya, kami rapat sejak kecil. Kalau perlawanan di tempat lawan, saya ikut Allahyarham dengan Datuk Sundaram. Dalam perjalanan pulang, kami sembang bola sampai terfikir nak tubuh pasukan baharu di Malaysia secara berseloroh.
“Allahyarham juga selalu mengambil Ayah di rumah kami di Sungai Way selepas waktu kerja untuk tugas-tugas FAS. Keakraban itu menjadi lebih utuh apabila kami sekeluarga berpindah selang dua rumah dari rumah Uncle Rosman pada 2005.”
Rosman yang berasal dari Bangi, mendirikan rumah tangga dengan Fatimah Haron dan dikurniakan empat anak: Fadilah Hamizah, Nazirul Bahri, Fadilah Hanis dan Nazrin Bahri.
Sambil merencana tadbir urus FAS, termasuk melakukan transisi laman web dan pertandingan tempatan, Rosman bergelut menjaga isterinya yang akhirnya meninggal dunia akibat kanser pada 2014.
Sebagaimana Hamdan dan Allahyarham Raja Restam Azhar Raja Jaafar, Rosman dianggap sebagai panglima yang setia kepada Hamidin, satu ciri cukup dihargai oleh Presiden Kehormat FAM itu.
Apabila Hamidin diangkat menjadi Setiausaha Agung FAM pada Julai 2013, FAS tercari-cari calon berwibawa untuk mengisi kekosongan itu. Bukan mudah mencari pengganti Hamidin yang masak dengan sepak terajang politik bola sepak sejak berkhidmat sebagai setiausaha eksekutif FAS pada 1995 dan dilantik Setiausaha Agung tiga tahun kemudian.
Selepas proses temuduga yang dihadiri Rosman, Hamdan, Zakaria Ab Rahim dan Firdaus Mohammad, akhirnya panel penilai yang diketuai Dr Ahmad Yunus Hairi dan dianggotai Mokhtar dan Tengku Datuk Seri Ahmad Shah, mengesyorkan satu nama kepada Presiden FAS yang juga Menteri Besar Selangor ketika itu, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Rosman menikmati detik manis bersama Selangor: layak ke Piala AFC (2013, 2014, 2016), juara Piala Malaysia 2015, naib juara Liga Super (2013, 2014, 2015), juara Piala Presiden 2017, Piala Belia (2013, 2016), serta kejayaan futsal dan Sukma 2010.
Apabila Hamidin mencari seorang pentadbir yang dipercayai untuk membantu Datuk Noor Azman Rahman, Rosman dilantik sebagai penolong Setiausaha Agung FAM pada Ogos 2023.
Rosman akhirnya memegang jawatan Pengurus Unit Infrastruktur & Pengurusan Fasiliti sehingga ke akhir hayat.
Tidak hairanlah ramai hadir memberi penghormatan terakhir, menyempurnakan solat jenazah dan mengiringi ke tanah perkuburan — antaranya Datuk Dollah Salleh, Ismail Ibrahim, Zainal Nordin, Bunyamin Umar dan Razip Ismail, kakitangan FAS dan FAM serta NSTP, selain pengulas sukan Zainal Abidin Rawop dan pucuk pimpinan Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM).
Bagi penulis, kenangan disambut Rosman ketika memulakan latihan Skim Latihan Kewartawanan NSTP di Balai Latihan di Jalan Liku, Bangsar, pada 1991 kekal segar dalam ingatan.
Stadiumastro.com mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Rosman, khususnya anak sulungnya, Fadilah Hamizah, yang juga penyelaras penerbitan Astro Arena.
Semoga Allah SWT merahmati roh Rosman Mohd Ibrahim dan menempatkannya dalam kalangan ahli Jannah.