Bekas pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia, Roslin Hashim, berpandangan pemain negara dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu bersikap terbuka terhadap kritikan membina daripada jurulatih yang berpengalaman membimbing pemain bertaraf dunia.
Pandangan itu hadir susulan kenyataan jurulatih Kestutis Navickas, yang membimbing juara dunia Alex Lanier, mengenai kelemahan pemain badminton Malaysia.
Navickas sebelum ini menyifatkan pemain negara memiliki kualiti pukulan yang baik, namun masih kurang dari segi visi jangka panjang serta tahap kesabaran ketika berdepan situasi sukar dalam permainan.
Menurut Roslin, kritikan sedemikian wajar dilihat sebagai peluang untuk melakukan penambahbaikan dan bukannya sesuatu yang perlu ditolak.
Sementara itu, Roslin turut memuji inisiatif Datuk Seri Lee Chong Wei yang mengambil pendekatan bertemu secara bersemuka dengan gandingan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Pertemuan itu penting bagi memahami kehendak pasangan berkenaan serta perkara yang diperlukan untuk memastikan mereka terus mampu mempamerkan prestasi terbaik di pentas dunia.
Roslin berkata, sebarang keputusan berkaitan masa depan gandingan itu perlu dibincangkan secara menyeluruh supaya setiap persoalan dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin.
Dia turut menyifatkan pendekatan berkenaan sebagai langkah proaktif dalam mencari penyelesaian terbaik untuk masa depan Aaron-Wooi Yik.