Tawaran insentif sebanyak RM20,000 kepada mana-mana atlet yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan menjadi antara tarikan utama Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, mengumumkan insentif berkenaan sebagai dorongan kepada atlet institusi pengajian tinggi untuk bukan sahaja memburu pingat, malah mencipta pencapaian lebih tinggi di pentas SUKIPT.
Pengumuman itu jelas menunjukkan sasaran SUKIPT bukan sekadar mengejar 229 pingat emas yang dipertandingkan, tetapi turut mahu memastikan kualiti atlet IPT terus seiring dengan perkembangan dan kemajuan sukan negara.
Universiti Malaya selaku tuan rumah turut melancarkan majlis perasmian SUKIPT 2026 dalam acara penuh gilang-gemilang yang berlangsung di Arena Universiti Malaya semalam.
Penganjuran kali ini menghimpunkan seramai 7,697 atlet daripada 64 kontinjen, membabitkan universiti awam dan swasta, politeknik serta kolej komuniti.
Kesemua mereka bersaing dalam usaha memburu kejuaraan, selain menjadikan SUKIPT sebagai platform untuk mencungkil bakat baharu yang berpotensi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.