Dari pertahanan ke serangan.
Keupayaan serba boleh Richard Chin bakal dimanfaatkan sepenuhnya apabila jurulatih sementara Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, mengesahkan pemain Ross County FC itu akan ditugaskan di jentera serangan menjelang aksi menentang China, Sabtu ini.
Cheng Hoe mendedahkan perancangan itu ketika ditemu bual sehari selepas Harimau Malaya tiba di Guangdong, China, bagi menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa.
Posisi asal Richard adalah sebagai pertahanan kanan, namun pemain berusia 24 tahun itu memiliki keupayaan beraksi di beberapa posisi berbeza.
Pemain berdarah Malaysia-Seychelles yang dilahirkan di England itu membuat kemunculan pertama bersama Harimau Malaya ketika menentang Palestin dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), 8 September tahun lalu.
"Barisan kejurulatihan masih nilai prestasi pemain dalam latihan.
"Saya harap Richard dapat sesuaikan diri dengan secepatkan taktikal kerana kali pertama menyertai pasukan.
"Saya mengambil beberapa hari ini untuk menilai persembahannya ketika berlatih.
"Bukan Haziq Kutty (Abba) sahaja, kami akan beri peluang kepada semua pemain untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan dan juga sebagai persediaan menghadapi (kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia tahun depan)," katanya.
Mengenai cabaran menentang China, Cheng Hoe mengakui perbezaan kedudukan ranking dan kualiti kedua-dua pasukan, namun tetap mengharapkan anak buahnya mampu mencatat keputusan positif di tempat lawan.
"Mereka menyenaraikan pemain berpengalaman dan membuat 16 pertukaran pemain.
"Bukan mudah untuk dapatkan keputusan baik. Walaupun kalah ketiga-tiga perlawanan terakhir, tetapi mereka mmpunyai kekuatan tersendiri.
"Saya harap pemain (yang saya) bawa kali ini berikan saingan terbaik kepada China," katanya lagi.