Pasukan GG 4X4 dari Marang bersedia membawa nama Terengganu ke pentas antarabangsa apabila mengesahkan penyertaan mereka dalam Rainforest Challenge (RFC) Grand Final 2025, perlumbaan ekstrem pacuan empat roda paling berprestij dunia.
Edisi ke‑29 sejak diperkenalkan pada tahun 1997 ini akan berlangsung selama 10 hari.
Advertisement
Perlumbaan bermula hujung minggu ini dengan acara Prologue Special Stage di Lembah Peladang Agro Park, Sungai Buloh, Selangor sebelum diteruskan ke Gua Musang, Kelantan pada 1 Disember bagi perlumbaan utama.
GG 4X4 mempertaruhkan jentera Land Rover Defender Series 3 88 yang dipandu oleh Tengku Khairul A Rahman bersama juruarah muda berusia 22 tahun, Muhamad Nasrul Aiman Mohd Azili.
Walaupun berstatus pasukan kecil tanpa sokongan profesional sepenuh masa, mereka yakin mampu mencabar pelumba antarabangsa dan memburu podium.
“Kami mungkin pasukan kecil, tetapi kelebihan memahami bentuk muka bumi tempatan memberi keyakinan untuk bersaing.
"Cuaca yang tidak menentu pula menjadikan peluang lebih terbuka kepada semua peserta,” kata Tengku Khairul.
Bagi Muhamad Nasrul Aiman, penampilan sulung sebagai juruarah di pentas RFC Grand Final ini menjadi peluang berharga seumur hidup yang tidak seharusnya disia-siakan.
“Debaran itu tetap ada, namun saya melihat ini sebagai kesempatan untuk membuktikan kemampuan.

"Saya berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan dan akan berusaha sebaik mungkin,” ujarnya.
Misi GG 4X4 turut mendapat sokongan Tourism Terengganu yang melihat penyertaan ini sebagai usaha mengangkat sukan permotoran sebagai produk pelancongan negeri.
“Sukan permotoran mempunyai potensi besar sebagai tarikan pelancongan. Pasukan tempatan yang bersaing di pentas antarabangsa mampu menjadi duta pelancongan negeri, seiring persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026,” kata Pengarah Tourism Terengganu, Hilman Hajijan, ketika meraikan pasukan tersebut di Pulau Duyong.
