Selepas empat bulan kehilangan bekas ketua jurulatih beregu campuran, Nova Widianto, Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky, tidak menafikan skuad beregu campuran negara kini sedang melalui situasi hambar.
Rexy berpandangan, barisan pemain sedang mencari jalan untuk proses mengadaptasi dengan corak latihan Teo Kok Siang dan Pang Cheh Chang, yang berbeza dengan pendekatan Nova sebelum ini.
Baginya, perlu ada masa diberikan buat beregu negara berasa lebih selesa dengan pendekatan baharu yang sedang diterapkan.
Situasi bertambah buruk dengan masalah kecederaan lutut yang dialami pemain negara, Toh Ee Wei.
Rexy mengharapkan Ee Wei akan segera mencari jalan untuk kembali ke gelanggang dengan tidak membiarkan dirinya terlalu lama berehat.
"Kalau kita lihat sejak pemergian Nova memang peralihannya memerlukan masa," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
"Kita juga perlu lihat bahawa Toh Ee Wei sedang mengalami kecederaan dan gandingan Chen Tang Jie dan Chan Wen Tse memerlukan masa.
"Kita perlu melihat perkembangan Ee Wei. Kita tahu sebelum ini dia menjalani pemulihan di Australia dan berharap dia dapat meneruskan sesi pemulihannya dengan baik di sini.
"Kita harap ia tidak terlalu lama dan jika semua berjalan baik, diharapkan dia dapat kembali beraksi sebelim Kejohanan Seluruh England dan tempoh kelayakan ke Sukan Olimpik."