Pasukan The Next Factor mengesahkan kejuaraan keseluruhan kategori racing pada hari terakhir usai perlumbaan kesembilan dan ke-10 Perlumbaan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi Edisi ke-22 hari ini.
Selaku juara bertahan, pasukan kendalian sikpper, Rolf Heemskerk itu menampilkan pelayaran konsisten sepanjang perlumbaan, meskipun berdepan tekanan tinggi serta persaingan sengit daripada pasukan berpengalaman seperti Alive, Blitz dan Rama-Rama VG.
Advertisement
Menurut Heemskerk, faktor cuaca tidak menentu dan laluan perlumbaan di perairan Langkawi menjadi cabaran utama pasukannya tetapi persediaan rapi daripada segi strategi dan kesepaduan kru menjadi kunci utama kejayaan itu.
Kemenangan itu menyaksikan The Next Factor mempertahankan gelaran kategori racing dan seterusnya merangkul Prime Minister’s Challenge Trophy buat kali kedua berturut-turut.
"Ia regatta yang baik dan ia hari yang manis buat kami untuk kemenangan ini," kata Heemskerk kepada wartawan Astro Arena, Zaki Zainal.
"Kerana kami menuju ke hari terakhir dengan dua mata di belakang Alive dan mereka pesaing yang amat menakutkan dengan pelayar yang amat baik profesional.
"Jadi untuk menamatkan perlumbaan hari ini di tangga teratas, ia sesuatu yang amat manis.
"Saya amat gembira dan berterima kasih dapat memiliki kru dengan prestasi yang hebat."