Realiti pahit harus ditelan peminat bola sepak Vietnam apabila pasukan B-19 negara mereka bukan sahaja gagal layak ke Piala Asia B-20 di China tahun depan, bahkan tersingkir ke fasa pembangunan.
Ini selepas Naga Emas gagal mendaftarkan sebarang kemenangan sepanjang tiga perlawanan Kumpulan C pusingan kelayakan, sekali gus menduduki tangga tercorot.
Lebih memeritkan, mereka gagal menjadi dua pasukan tercorot di kedudukan terbaik daripada lapan pasukan, sekali gus perlu melalui fasa pembangunan dalam edisi akan datang.
Dengan itu, Vietnam perlu menjadi dua pasukan terbaik peringkat kumpulan dalam fasa pembangunan edisi depan untuk kembali ke fasa kelayakan dalam edisi berikutnya.
Mimpi buruk itu bermula apabila mereka tewas 0-3 kepada Korea Utara dalam perlawanan pembukaan sebelum tewas 1-2 kepada Palestin dalam aksi kedua.
Hasrat mereka untuk sekurang-kurangnya menamatkan kempen di tangga ketiga kumpulan itu musnah apabila tewas 1-3 kepada Iran dalam aksi terakhir semalam.