Real Madrid mahukan presiden LaLiga yang baharu, dan menyelar komen Javier Tebas pada awal pagi Selasa yang menyatakan mutu pengadilan menentang kelab mereka sebagai "tidak boleh diterima".
Setelah tewas 2-1 kepada Atletico Madrid pada Ahad, Real menerbitkan laporan perlawanan di laman web mereka yang bertajuk: 'Mutu pengadilan yang teruk menentukan keputusan derbi'.
Real amat berang apabila pemain pertahanan Atletico, Cristian Romero, tidak dilayangkan kad merah setelah memijak Jude Bellingham serta mempersoalkan hadangan Lee Kang-in ke atas Federico Valverde.
Pengurus Real, Jose Mourinho, memberikan krtikan pedas kepada pengadil perlawanan, Miguel Angel Ortiz Arias, dan pihak yang melantiknya.
Jurulatih dari Portugal itu berkata pasukannya boleh memenangi kejuaraan "jika mereka membenarkan kami bersaing secara adil di atas padang".
Real ketika ini di kedudukan keempat liga, enam mata di belakang juara bertahan Barcelona, selepas tujuh perlawanan.
Tebas berkata pada Isnin bahawa naratif yang cuba dilontarkan oleh Real hanyalah untuk mengalih perhatian daripada aksi longlai mereka di atas padang.
"Mendakwa para pengadil diminta untuk tidak menyebelahi Real Madrid seperti hidup di luar angkasa." Tebas berkata pada media sosial.
"Ia lebih mudah untuk berkonspirasi daripada menjelaskan apa yang berlaku di atas padang."
Real memberikan respon melalui satu penyataan di laman web mereka, mengecam komen Tebas dan mengatakan LaLiga perlukan tampuk kepimpinan baharu.
"Kelab kami berpendapat bahawa ia tidak boleh diterima apabila Presiden LaLiga menggunakan posisi institusinya untuk terus mempertikaikan dan menyerang Real Madrid," kata mereka dalam penyataan tersebut.
"Berikutan tingkah laku yang berterusan ini, kami percaya bahawa pertandingan bola sepak profesional di Sepanyol sangat memerlukan ketua yang mampu menguruskannya dan merealisasikan potensinya, dengan bertanggungjawab untuk mengekalkan sikap berkecuali.
Tebas, yang menggelarkan dirinya sebagai penyokong Real Madrid, telah mengetuai LaLiga sejak 2013. Pada Disember 2023, dia memegang jawatan tersebut untuk tahun keempat tanpa sebarang pencabar, dan penggal semasanya akan kekal sehingga 2027.
Sepanjang tempohnya sebagai presiden, Tebas kerap lantang dan tak bersetuju dengan Real Madrid, sementara LaLiga dan kelab tersebut pernah bersemuka di muka pengadilan sebelum ini.
Real telah memfailkan permohonan untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh LaLiga pada 2022 kerana melanggar hak penyertaan mereka, selepas mereka dikecualikan daripada Badan Kawalan yang menguruskan hak audiovisual liga tersebut. Pada Jun, Mahkamah Agung Sepanyol memutuskan keputusan yang berpihak kepada Real.