Pemenang gangsa Sukan Olimpik 1992, Razif Sidek, berasakan beregu wanita sensasi negara, Pearly Tan-M. Thinaah, perlu memanfaatkan peluang keemasan dalam Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2026 kali ini, selepas beregu nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning menarik diri.
Selepas Pearly kembali pulih daripada kecederaan, Razif percaya ia masa yang tepat buat gandingan negara itu kembali berada pada prestasi terbaik mereka dan menjuarai kejohanan tersebut.
Advertisement
"Walaupun tanpa kehadiran pemain-pemain utama dunia, kita berharap mereka yang bertanding mewakili negara dalam Masters Malaysia akan lebih menyerlah berbanding sebelum ini.
"Kita berharap kebanyakan mereka akan menjuarai kali ini," katanya.
Selain kem beregu, beliau turut melihat impak positif terhadap pemain sensasi negara Lee Zii Jia yang kembali mempamerkan taringnya selepas berjaya meneruskan momentum mara ke pusingan 32, Kejohanan Badminton Terbuka Thailand 2026 usai menewaskan lawan dari India, Manav Choudhary, dalam pusingan kelayakan pertama sebelum menyingkirkan wakil Chinese Taipei, Liao Jhuo Fu, hari ini.
"Dengan kemenangan pertama di Terbuka Thailand pasti akan memberikan sedikit sebanyak keyakinan untuk diri dia sendiri, saya berharap dia akan berjaya dan menjuarai Terbuka Thailand walaupun bermula dalam pusingan kelayakan.
"Kita harapkan pemain Malaysia akan maju, sudah lama tidak lihat kejayaan pemain Malaysia." katanya.