Skip to main content

Bola Sepak

Rasmi: UEFA jatuhkan hukuman terhadap 14 pasukan

UEFA

Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) mengenakan tindakan terhadap 14 kelab termasuk Juventus, Newcastle United, Aston Villa dan Chelsea selepas didapati melanggar peraturan kelestarian kewangan bagi musim 2025/26.

UEFA memaklumkan Badan Kawalan Kewangan Kelab UEFA (CFCB) menerusi First Chamber telah melengkapkan penilaian terhadap kelab-kelab yang bertanding dalam kejohanan Eropah musim 2025/26 sebelum menjatuhkan pelbagai bentuk hukuman melibatkan pelanggaran Peraturan Pendapatan Bola Sepak (Football Earnings Rule), Peraturan Kos Skuad (Squad Cost Rule) dan keperluan pelaporan kewangan.

Peraturan Pendapatan Bola Sepak yang menggantikan ujian ‘break-even’ sebelum ini mewajibkan kelab memastikan jumlah kerugian berkaitan aktiviti bola sepak berada dalam had yang dibenarkan sepanjang tempoh pemantauan, dengan sebarang defisit melebihi had perlu ditampung menerusi suntikan ekuiti atau sumbangan pemilik kelab.

Juventus, Newcastle United, OGC Nice, Santa Clara, FC Astana dan FK Partizan didapati gagal mematuhi peraturan itu yang buat kali pertama dinilai berdasarkan agregat tiga tahun meliputi tahun kewangan berakhir pada 2023, 2024 dan 2025.

Juventus dan Newcastle bersetuju dengan penyelesaian selama tiga tahun yang mewajibkan mereka memenuhi sasaran tahunan sebelum mencapai pematuhan penuh menjelang penghujung musim 2028/29.

Kedua-dua kelab itu juga akan dikenakan sekatan pendaftaran pemain baharu dalam Senarai A (senarai utama) bagi pertandingan UEFA. Di bawah peraturan tersebut, setiap kelab hanya dibenarkan mendaftarkan maksimum 25 pemain, dengan lapan tempat diperuntukkan khas kepada pemain tempatan.

UEFA turut memberi amaran bahawa hukuman lebih berat termasuk sekatan tambahan pendaftaran pemain atau penyingkiran daripada kejohanan UEFA akan dikenakan sekiranya sasaran yang ditetapkan gagal dipenuhi.

Nice dan Santa Clara turut didapati melanggar Peraturan Pendapatan Bola Sepak namun berjaya membuktikan pelanggaran itu hanya bersifat sementara.

FC Astana dan FK Partizan pula masing-masing didenda €100,000 dan €200,000 atas kesalahan yang dianggap kecil.

UEFA turut mengenakan tindakan terhadap sembilan kelab kerana melanggar Peraturan Kos Skuad yang mengehadkan perbelanjaan bagi gaji pemain dan jurulatih, yuran perpindahan serta komisen ejen kepada maksimum 70 peratus daripada hasil pendapatan kelab termasuk keuntungan hasil jualan pemain.

Aston Villa, Chelsea, Newcastle United, Nottingham Forest, Nice, RC Strasbourg, AEK Athens, Fiorentina dan Fenerbahce dilaporkan mencatat nisbah kos skuad melebihi had 70 peratus bagi tahun kalendar 2025.

RC Strasbourg menerima denda terbesar berjumlah €25 juta (kira-kira RM126 juta), manakala Aston Villa didenda €22.5 juta (kira-kira RM114 juta).

UEFA menjelaskan kedua-dua kelab melakukan pelanggaran ketara dan akan dikenakan sekatan pendaftaran pemain baharu bagi pertandingan kelab UEFA musim 2026/27.

Fenerbahce didenda €7 juta, Fiorentina €6 juta, Chelsea dan Newcastle masing-masing €3 juta, Nottingham Forest €2.5 juta, AEK Athens €500,000 manakala Nice dikenakan denda €450,000.

Menurut UEFA, Chelsea dan Aston Villa sebenarnya pernah dikenakan tindakan pada musim lalu, namun kedua-duanya menunjukkan peningkatan positif daripada segi nisbah kos skuad.

Bologna dan Napoli turut merekodkan nisbah kos skuad melebihi had 70 peratus tetapi tidak dikenakan sebarang hukuman kerana lebihan itu diimbangi oleh keuntungan menerusi Peraturan Pendapatan Bola Sepak.

Sementara itu, FK Vardar Skopje didenda €250,000 selepas mengemukakan maklumat kewangan yang tidak lengkap. Kelab itu turut berdepan kemungkinan disingkirkan daripada kejohanan UEFA sekiranya mengulangi kesalahan sama dalam tempoh tiga musim akan datang.

Anda mungkin berminat dengan

adidas Football Argentina 26 Away Jersey Men Black JM8395

adidas Football Argentina 26 Away Jersey Men Black JM8395

[NEW] PUMA Portugal Away Jersey Men

[NEW] PUMA Portugal Away Jersey Men

adidas Football Germany 26 Home Pre Match Jersey Men Black JZ4577

adidas Football Germany 26 Home Pre Match Jersey Men Black JZ4577

adidas Football Argentina 26 Home Pre Match Jersey Men White JY9530

adidas Football Argentina 26 Home Pre Match Jersey Men White JY9530

adidas Football Spain 26 Home Fan Jersey Men Red JZ5780

adidas Football Spain 26 Home Fan Jersey Men Red JZ5780

Must Watch Video