Jurulatih baharu skuad bola sepak wanita bawah 17 tahun (B-17) negara, Takayoshi Ishihara, mengumumkan senarai panggilan pemain pertamanya bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia Wanita B-17 2027 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor yang bermula 5 hingga 11 Oktober depan.
Pengendali kelahiran Jepun itu menyenaraikan 25 pemain yang akan menjalani kem latihan pusat sebagai persiapan rapi bagi merebut slot ke China tahun hadapan.
Daripada senarai 25 pemain tersebut, seramai 20 daripada 22 pemain daripada kempen Piala Srikandi pada Ogos lalu di Kudus, Indonesia telah dikekalkan sementara lima pemain baharu dipanggil bagi menguji tahap sebenar untuk mewakili negara.
Fenomena Lim You terus menjadi sandaran selain cucu chef selebriti terkemuka negara, Chef Wan atau Datuk Redzuawan Ismail, iaitu Isabella Saffiya O'Luanaigh, turut dipanggil.
Pemain warisan Malaysia-Kanada, Dishanna Nagarajan Pillay, yang berpangkalan di Vancouver United turut mendapat tempat bagi memperkuat serangan skuad kebangsaan.
Bintang Sekolah Sukan Malaysia Sabah (SSMS), Chelsea Leona Julius, juga disenaraikan selain dua lagi rakan sepasukannya, Nisriena Batrissya Mohd Azhar dan Nina Hasmaji.
Senarai penuh:
Pelapis Malayan Tigress itu berada di dalam Kumpulan E dengan halangan dari Syria, Iraq dan India.
Juara kumpulan akan layak ke Piala Asia Wanita 2027 di China bersama empat lagi pasukan yang sudah mengesahkan tempat iaitu juara bertahan, Korea Utara, Jepun, Australia dan China pada 31 Mac hingga 17 April 2027.