Legenda hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi, melihat peningkatan dibawa jurulatih skuad kebangsaan Brendon Carolan memberi impak dalam siri persahabatan di Afrika Selatan.
Biarpun ia bukanlah keputusan yang diimpikan selepas skuad negara tewas dua dan seri dua perlawanan, namun dia menegaskan Carolan perlu diberi ruang menyusun dan membuat penstrukturan rapi menjelang aksi Yang lebih penting di pentas Sukan Asia dan Piala Dunia.
Bagaimanapun, pemain juga perlu membukti dan menyerap sistem atau corak permainan ditetapkan jurulatih, supaya ia mempamerkan pemain mampu menyesuaikan diri dengan gaya permainan hingga mencipta kemenangan.
"Peningkatan prestasi pasukan dapat dilihat, Malaysia mula meraih keputusan yang positif sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia serta saingan Piala Dunia.
"Pemain-pemain masih lagi menyerap pendekatan yang mahu diterapkan Carolan. Saya percaya sedikit lagi masa mereka mampu menunjukkan keputusan yang lebih baik," katanya.