Universiti Malaya (UM) mencipta kejutan terbesar apabila menumbangkan juara bertahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) 1-0 dalam perlawanan final bola sepak Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 di UM Arena, malam tadi.
Kemenangan ini menyaksikan UM merangkul 'ibu segala pingat' serta dijulang sebagai juara Piala Menteri Pendidikan Tinggi 2026.
UiTM menguasai babak awal menerusi asakan bertali arus bagi memburu gol pembukaan, namun ketangkasan penjaga gol UM, Aghni Abdul Shukor Abduloh, menjadi benteng ampuh menyekat hasrat lawan.
Aksi di penghujung separuh masa pertama nyata berpihak kepada UM apabila rembatan leret Mohamed Amin Imran Mohamed Akbar menewaskan penjaga gol UiTM, Azim Nasri Issan, untuk meletakkan tuan rumah di hadapan.
Hasrat UiTM untuk bangkit selepas itu kian sukar apabila Wan Muhammad Aqil Hakimi dilayangkan kad kuning kedua pada awal babak kedua, sekali gus memaksa gergasi IPT itu beraksi dengan 10 pemain.
Ia menyaksikan kedudukan 1-0 itu kekal hingga tamat perlawanan untuk menobatkan tuan rumah UM selaku juara..
Bagi pengendali UM, Ashadi Mohd Yusoff, kemenangan ini hasil daripada sikap tidak mengalah dan disiplin tinggi pemain yang menyaksikan anak buahnya menamatkan dominasi kejuaraan UiTM yang dipegang sejak edisi 2018.
"Pemain bermain dengan sepenuh hati dan jiwa, mereka memberi lebih 100 peratus.
"Mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejuaraan ini," katanya.
Enggan terbuai dengan kejayaan manis ini, fokus Ashadi kini mula beralih kepada merancang strategi serta mengukuhkan skuad kendaliannya sebagai persiapan menghadapi Liga Bola Sepak IPT Divisyen 1 musim hadapan.
"Selepas menamatkan saingan di tempat keempat tahun ini, kami mahu perbaiki kedudukan ini.
"Kami akan berusaha merekrut pelajar baharu untuk memperkuatkan pasukan ini," katanya.