Skip to main content

Bola Sepak

Rakan kongsi liga perlu lebih perwakilan dalam Lembaga Pengarah MFL-- pakar

zack rahim

Pemerhati bola sepak negara, Zakaria Rahim, menyokong cadangan agar rakan kongsi Liga Malaysia, sebagai pemegang taruh utama, diberikan lebih banyak perwakilan dalam Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Bagaimanapun, Zakaria menegaskan pelaksanaan cadangan itu perlu disertakan dengan mekanisme jelas, antaranya menawarkan lima kerusi kepada pasukan paling konsisten dalam Liga Malaysia.

Advertisement

"Bukan lebih banyak perwakilan tetapi ahli lembaga pengarah itu perlu orang yang sepatutnya," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Orang yang sepatutnya adalah pemegang taruh liga itu sendiri, iaitu wakil kelab-kelab yang bertanding.

"Ada dua cara. Yang pertama, semua (wakil) kelab dalam Liga Super, kecuali pasukan jemputan, adalah lembaga pengarah.

"Ataupun, jika terlalu besar untuk 12 orang wakil, pengurusan pasukan perlu berusaha untuk kelab-kelab mereka berada dalam kelompok lima teratas bagi mendapatkan kerusi ahli lembaga pengarah."

Untuk rekod, rakan kongsi liga ketika ini mempunyai tiga wakil dalam Lembaga MFL iaitu menerusi Datuk Seri Jaifuddin Bujang daripada Johor Darul Ta'zim (JDT), Jeffrey Chew (Penang) dan Iswandi Ali Hassan (Kuching City).

Cadangan berkenaan sebelum ini dibangkitkan beberapa pasukan, khususnya Selangor, dalam perbincangan meja bulat di ibu negara baru-baru ini.

Rakan kongsi turut mencadangkan penubuhan semula badan pengadil profesional sebagai antara langkah utama bagi meningkatkan kualiti pengadilan serta memperkukuh tadbir urus Liga Malaysia.

 

Must Watch Video