Legenda bola sepak England, David Beckham, dilaporkan memperoleh pendapatan mencecah ASD23 juta (kira-kira RM100 juta) hasil kempen pengiklanan yang dipaparkan ketika waktu rehat minum dalam setiap perlawanan Piala Dunia 2026.
Menurut laporan media antarabangsa, bekas kapten England itu menjadi wajah utama jenama minuman yang menaja segmen 'hydration break', iaitu hentian singkat yang diberikan kepada pemain untuk mendapatkan semula tenaga ketika cuaca panas.
Dengan Piala Dunia 2026 berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada ketika musim panas, waktu rehat minum digunakan dalam banyak perlawanan, sekali gus memberikan pendedahan luar biasa kepada penaja.
David Beckham, Dünya Kupası dönemindeki reklam anlaşmalarından yaklaşık 22 milyon euro gelir elde edecek. (The Sun) pic.twitter.com/P1cN2KRksM
— Populicc (@populicc) July 1, 2026
Situasi itu menyaksikan Beckham didakwa meraih kira-kira ASD23 juta sepanjang kejohanan menerusi kerjasama komersial tersebut, menjadikannya antara ikon bola sepak yang terus menjana pendapatan lumayan walaupun sudah bersara.
Bekas bintang Manchester United, Real Madrid dan LA Galaxy itu sememangnya kekal sebagai antara figura sukan paling bernilai di dunia, dengan portfolio penajaan membabitkan pelbagai jenama antarabangsa.
Piala Dunia 2026 bukan sahaja menjadi pentas buat pemain merebut trofi paling berprestij dunia, malah turut menjadi medan syarikat global berlumba-lumba mendapatkan perhatian jutaan penonton.
Dalam kes Beckham, setiap kali pengadil meniup wisel untuk waktu rehat minum, ia bukan sekadar memberi peluang kepada pemain menghilangkan dahaga, malah dikatakan turut meningkatkan nilai komersial bekas bintang England itu.