Malaysia mencatat pencapaian cemerlang dalam Kejohanan Ragbi Sekolah Asia 7s B-19 2026 apabila Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSM Pahang) muncul juara kategori lelaki dan Bunga Raya Girl meraih tempat ketiga kategori wanita Stadium Royal Thai Air Force, Bangkok, Thailand.
Dalam kategori lelaki, pasukan Bunga Raya 7s Bawah 19 Tahun Lelaki yang diwakili oleh SSM Pahang mempamerkan prestasi konsisten dan dominan sepanjang kejohanan. Pasukan ini dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan King’s College (Thailand) dengan keputusan 27–17 dalam perlawanan akhir.
Advertisement
SSMP mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan Liu Hsin Senior High School 37–7 (Taiwan) di peringkat separuh akhir. Di peringkat kumpulan, pasukan ini mencatat kemenangan penuh apabila menewaskan Kalinga Institute of School Science (43–7), Vajiravudh College (32–10) dan Armed Forces Academies Preparatory School (41–0).
Dalam kategori wanita pula, pasukan Bunga Raya Girl, yang diwakili oleh pemain-pemain terpilih daripada pelajar sekolah dan universiti tempatan menamatkan kejohanan di kedudukan ketiga keseluruhan.
Pasukan ini mencatat kemenangan 15–5 ke atas Triamudom Suksa Pattanakan Surattani School dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.
Di peringkat kumpulan, Bunga Raya Girl merekodkan keputusan tewas 7–32 kepada Kalinga Institute of School Science, seri 12–12 menentang Rajaprajanugroh 66 Narathiwat School serta mencatat kemenangan ke atas Phonesavahn School (35–5) dan Triamudom Suksa Pattanakan Surattani School (26–5).
Kejayaan yang diraih oleh SSM Pahang dan Bunga Raya Girl dalam kejohanan ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan berterusan sukan ragbi di peringkat sekolah dan akar umbi negara.