Skip to main content

Permotoran

Qabil Irfan tebus kesilapan, cemerlang raih podium perlumbaan kedua

Moto4

Pelumba berbakat besar negara, Qabil Irfan Azlan, lega mampu menampilkan kebangkitan dalam kemunculan sulungnya di pentas Moto4 Piala Asia apabila meraih podium dalam perlumbaan kedua pusingan pertama di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, semalam.

Pelumba kelahiran Terengganu yang baru berusia 14 tahun itu juga mencipta sensasi dengan mengakhiri kemarau panjang pelumba negara di kedudukan podium kejuaraan tersebut apabila kali terakhir dilakar Hakim Danish Ramli pada musim 2022.

Advertisement

Dalam perlumbaan kedua itu, pelumba Jepun, Hayato Chishiki membuktikan dia berada di kelas tersendiri apabila mencatat masa terpantas dengan 26:53.974s, dengan Qabil dipisahkan hanya 2.2 saat dengan catatan masa 26:56.174s.

Bagaimanapun, Qabil mengakui dia perlu beri yang terbaik untuk berusaha mengekalkan kedudukan kedua sejak awal saingan hingga perlumbaan tamat.

“Dalam sesi kelayakan hari Sabtu, saya cuba lakukan catatan masa terbaik dan meraih petak kedua walaupun ketika itu ada sedikit masalah dengan jentera.

“Sewaktu Perlumbaan 1 kelmarin, memandangkan ini kali pertama saya bersaing dalam perlumbaan kompetitif sebegini di Asia, saya memerhati dahulu bagaimana pelumba lain beraksi. Saya cuba memberi saingan, namun hanya mampu tamatkan di tempat keenam.

“Untuk perlumbaan semalam, saya cuba untuk berjuang dari awal lagi. Misi saya adalah kekalkan posisi di kelompok hadapan dari mula hingga ke garisan penamat,” katanya yang bakal beraksi di Litar Antarabangsa Lusail, Qatar untuk pusingan kedua 10-12 April ini.

Keputusan ini menyaksikan Qabil kini menghuni kedudukan ketiga keseluruhan selepas mengumpul 30 mata daripada dua perlumbaan pusingan pertama di Buriram, di belakang dua pelumba Jepun, Chishiki dan Waku Kunitate.

Dua lagi pelumba Malaysia, Naqib Rifqi Zulhelmi, menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12 dan mengutip mata manakala Qayyim Razin Razali menamatkan saingan di tempat ke-16.

 

Topik Berkaitan

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found