Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, memaklumkan projek pembinaan Pusat Akuatik Darul Ehsan bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 kini telah mencapai kira-kira 30 ke 40 peratus siap.
Menurut Amirudin, projek naik taraf utama itu dijangka siap sepenuhnya pada Jun ini, sekali gus memberi ruang kepada para atlet melakukan persiapan akhir sebelum kejohanan sebenar bermula.
Advertisement
“Yang majoriti kita perlu selesaikan adalah pusat akuatik dengan kos sekitar RM40 juta.
“Kita akan siapkan mengikut masa dan jadual yang telah ditetapkan,” katanya.
Dia berkata demikian ketika mengulas perkembangan projek berkenaan yang bakal menjadi antara fasiliti utama bagi penganjuran temasya sukan terbesar negara itu.
Kompleks akuatik itu juga dijangka menjadi mercu tanda baharu pembangunan sukan di Selangor dengan kemudahan bertaraf antarabangsa bagi acara renang dan terjun.
Dalam perkembangan sama, Amirudin turut meluahkan keterujaan terhadap sambutan luar biasa orang ramai untuk menyertai sebagai sukarelawan SUKMA.
Menurutnya, jumlah pendaftaran setakat ini telah melebihi 30,000 orang, jauh mengatasi sasaran awal iaitu sekitar 5,000 sukarelawan.
“Saya sangat teruja dengan penyertaan yang berlipat kali ganda ini.
“Saya minta maaf kerana mungkin tidak semua dapat kita libatkan,” katanya.
Bagaimanapun beliau menegaskan pihak penganjur akan berusaha memaksimumkan penglibatan sukarelawan bagi memastikan kelancaran penganjuran SUKMA kali ini.
“Kita akan cuba memaksimumkan keterlibatan supaya kejohanan ini bertambah meriah, serta dapat membantu melicinkan dan merancakkan lagi penganjuran,” katanya lagi.