Skip to main content

Pickleball

Pulau Pinang sedia gegar dunia, tuan rumah siri pembukaan Kejohanan Pickleball Dunia 2026

Pulau Pinang sedia gegar dunia, tuan rumah siri pembukaan Kejohanan Pickleball Dunia 2026

Menjelang World Pickleball Championship (WPC) 2026, tumpuan dunia kini terarah ke Pulau Pinang yang bakal menjadi gelanggang pembuka tirai kejohanan berprestij itu bermula 16 April ini.

Tahun 2026 dilihat cukup sibuk buat negeri dikenali sebagai Pulau Mutiara itu apabila dijadual menjadi tuan rumah kepada beberapa acara sukan bertaraf antarabangsa, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai hab penganjuran sukan serantau.

Advertisement

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, Harry Chai Heng Hua, menegaskan kesiapsiagaan negeri itu bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya telah lama terbukti melalui kejayaan menganjurkan pelbagai kejohanan besar.

Menurutnya, selain WPC, Pulau Pinang turut bakal menjadi tuan rumah kepada Sukan Orang Pekak Asia Pasifik yang dijadual berlangsung pada awal Oktober nanti -- satu lagi indikator kepercayaan komuniti antarabangsa terhadap keupayaan negeri itu.

Sementara itu, pengasas Pickleball Global, Jan David Papi, mengakui tahap fasiliti yang tersedia di Pulau Pinang berada pada standard yang sangat memuaskan.

Dia turut membuka kemungkinan lebih banyak kejohanan pickleball antarabangsa dianjurkan di negeri itu pada masa akan datang, susulan kualiti venue serta persiapan yang ditampilkan.

Penganjuran WPC 2026 bukan sahaja menjadi pentas penting buat pemain antarabangsa, malah dijangka menjadi pemangkin kepada perkembangan sukan pickleball di Malaysia.

Dengan sokongan fasiliti moden, pengalaman penganjuran serta komitmen pihak berkaitan, Pulau Pinang kini berada di landasan tepat untuk muncul sebagai antara destinasi utama sukan pickleball dunia.

Kejohanan itu bukan sekadar pertandingan -- tetapi simbol kebangkitan Malaysia sebagai kuasa baharu dalam landskap pickleball global.

Topik Berkaitan

Must Watch Video