Skip to main content

Sepak Takraw

PSM perkasa misi Piala Dunia, skuad kuadran diberi tumpuan

Sumali

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan, mengumumkan rombakan strategik membabitkan kemasukan enam pemain baharu daripada barisan pelapis kebangsaan ke dalam Program Podium Negara, dalam usaha memperkukuh skuad kuadran menjelang kejohanan utama musim ini.

Menurutnya, keputusan itu dicapai dengan fokus utama memperkasakan acara kuadran yang kini menjadi sandaran utama negara, khususnya menjelang Piala Dunia Sepak Takraw yang dijadual berlangsung dari 12 hingga 24 Mei depan.

Advertisement

“Malaysia melihat disiplin kuadran sebagai platform terbaik untuk mencabar kejuaraan di pentas dunia,” katanya.

Dalam perkembangan sama, badan induk itu turut meluluskan penambahan seorang jurulatih baharu bagi mengendalikan skuad pelapis kebangsaan.

“Langkah ini bertujuan memastikan kesinambungan bakat serta menyediakan kelompok pemain yang benar-benar bersedia untuk diserap ke skuad senior pada bila-bila masa,” tambah Sumali.

Ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharun, memberitahu pemilihan enam pemain tersebut dibuat berdasarkan penilaian terperinci terhadap prestasi semasa serta potensi mereka dalam saingan kuadran.

“Barisan kejurulatihan telah meneliti aspek teknikal, keserasian berpasukan dan ketahanan mental sebagai asas utama sebelum senarai akhir dimuktamadkan,” katanya.

Lebih menarik, PSM juga merancang mendapatkan khidmat seorang konsultan dari Thailand bagi membantu memperkasa skuad wanita negara menjelang Sukan SEA 2027.

Pendekatan ini dilihat sebagai strategi jangka panjang untuk meningkatkan daya saing, khususnya dalam menghadapi pencabar utama serantau.

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found