Skuad hoki negara terpaksa akur menjadi mangsa amukan Belgium apabila tewas 1-9 dalam pusingan round robin, Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2025 di Ipoh, Perak, sebentar tadi.
Dalam suku pertama menyaksikan Tom Boon membuka tirai jaringan seawal minit kelapan menerusi pukulan sudut penalti sebelum Thomas Crols menggandakan jaringan selang tiga minit kemudian untuk Belgium selesa mendahului 2-0.
Advertisement
Figura Faizal Saari sekali lagi membuktikan krebilitinya selaku penggempur negara apabila menolak masuk bola untuk merapatkan defisit jaringan menjadi 1-2.
Begitupun, anak buah Sarjit Singh terus dihukum hasil serangan balas yang dilancarkan Belgium apabila Thibeau Stockbroekx memanfaatkan peluang terhidang untuk jaringan ketiga Belgium.
Skuad Red Lions terus garang memburu gol menerusi Roman Duvekot diikuti Alexander Hendrickx yang menyempurnakan penalti strok untuk jaringan kelima dan Tommy Willems untuk meletakkan Belgium mendahului 6-1 dalam separuh masa pertama.
Babak kedua menyaksikan The Speedy Tigers terus bergelut sekali gus membuka pintu buat anak buah Shane McLeod yang beraksi dengan lebih taktikal untuk menambah jaringan.
Ini susulan tiga lagi jaringan yang hadir daripada Tom Boon yang menyempurnakan penalti strok, Victor Foubert pada minit ke-41 dan Roman Duvekot yang menutup malam gemilang buat pasukan lawan di Ipoh dengan kemenangan 9-1.