Siapa sangka rutin kehidupan berubah dalam sekelip mata, jika sebelum ini berjuang untuk mengharumkan nama negara tetapi kini terpaksa berjuang melawan penyakit kronik.
Pemenang pingat gangsa Sukan SEA Manila 1991, Samsul Mat Juah, diserang penyakit gangguan metabolisme asid urik yang menyebabkan sendi kaki menjadi bengkak atau gout pada 2015 yang akhirnya mengakibatkan masalah buah pinggang serius.
Advertisement
Samsul perlu bergantung pada rawatan serta bantuan mesin perubatan selepas realiti pahit itu menimpa dirinya.
Projek Ramadan, yang dibawakan oleh Dong Feng Cars Malaysia dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), menelusuri perjalanan hidup Samsul daripada seorang atlet kebangsaa, kini terpaksa pasrah dengan ujian getir apabila pergerakannya terbatas.
"Tidak boleh kencing sehingga hari ketiga. Tangan dan kaki sudah mula bengkak.
"Saya terus tertanya; kenapa?
"Saya pergi ke hospital dan mereka menjelaskan buah pinggang saya ada komplikasi. Ia dipenuhi dengan batu karang.
"Perkara pertama keluar daripada mulut saya adalah saya marah Tuhan.
"Saya jaga makan dan mengekalkan latihan, tetapi kenapa?
"Rupanya Dia mahu memberi pengajaran," katanya di Nadi Arena.
Tatkala harapan untuk beransur pulih, ujian bertambah apabila masalah jantung pula menghimpit kehidupan bekas jaguh bina badan berusia 60 tahun tu.
"Saya kehilangan satu jantung. Saya hanya boleh menanam pokok di rumah," tambahnya.
Rombongan Projek Ramadan YAKEB bersama Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) berkunjung ke kediaman Samsul membawa hasrat menghulur bantuan bagi meringankan beban wira negara.
"Jika semua syarikat dalam Malaysia seperti PEKEMA, ia sangat membantu.
"Mungkin PEKEMA antara syarikat yang Tuhan pilih untuk membantu kami.
"Bukan senang jumpa orang baik ingin bantu," tambahnya.