Ujian berbentuk penyakit menimpa bekas pesilat negara, Zainal Amat, pada 2023 tidak mematahkan semangatnya.
Untuk rekod, dia pernah menghadiahkan pingat emas dalam Sukan SEA Manila 1991.
Advertisement
Projek Ramadan yang dibawakan oleh Dong Feng Cars Malaysia dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) menceritakan tentang Zainal yang mewakili negara 36 tahun lalu diangkat selaku wira tanah air termasuk merupakan bekas ketua jurulatih negara.
"Saya sebenarnya cemburu dengan atlet-atlet Malaysia kerana zaman kami susah mendapatkan kemudahan seperti baju.
"Jadi, saya tanam semangat ingin mewakili negara juga.
"Susah senang kita hadapi bersama kerana itu niat utama.
"Apa yang kami inginkan tercapai.
"Pada tahun 1990, saya dinobatkan sebagai juara kebangsaan. Itulah permulaan sebelum bersara pada 1996," katanya.
Meskipun bersara pada 1996, Zainal terus menabur bakti dalam arena silat negara menerusi cabang kejurulatihan sehingga diuji masalah buah pinggang sejak tiga tahun lalu.
Rutin harian berubah, kini perlu menghabiskan tempoh empat jam membuat rawatan mencuci darah sebanyak tiga kali seminggu.
"Saya sedang melakukan dialisis.
"Saya reda sekarang.
"Jangan fikir mengalah. Jangan cakap ingin mati," katanya lagi.
Rombongan Projek Ramadan bersama Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) menziarahi Zainal di Sungai Rambai, Melaka bagi menyampaikan bantuan serta merisik khabar terkini.
"Kita banyak melihat memori indah mereka dahulu.
"Sekarang, tak ramai yang mengingati mereka.
"Sepatutnya mereka diraikan," kata Naib Presiden PEKEMA, Raja Petra Marudin Raja Nordin.