Skip to main content

Tinju

Projek Ramadan: Hilang penglihatan punca bekas peninju bersara awal, kini bertarung dengan kanser

Projek Ramadan: Hilang penglihatan punca bekas peninju bersara awal, kini bertarung dengan kanser

Kehilangan penglihatan sebelah mata memaksa bekas peninju negara, Balkhis Ahlal, menamatkan karier lebih awal daripada yang dirancang, sekali gus menutup perjalanan sukan yang pernah menyaksikannya meraih pingat gangsa di Sukan SEA 1995 di Thailand.

Namun, ujian hidup tidak terhenti di situ. Selepas bertahun meninggalkan gelanggang, Balkhis sekali lagi diuji apabila disahkan menghidap penyakit kronik pada tahun 2023, menjadikan kehidupannya semakin mencabar.

Advertisement

Balkhis sebelum ini dikenali sebagai antara peninju negara yang berpotensi besar. Namun segalanya berubah ketika beliau beraksi di pusingan akhir Kejohanan Tinju Asia 1996 menentang peninju dari Indonesia.

Kecederaan serius yang dialami menyebabkan beliau kehilangan penglihatan pada sebelah mata, sekali gus memaksa beliau membuat keputusan pahit untuk menamatkan karier tinju lebih awal.

Keputusan itu bukan sesuatu yang mudah buat atlet yang pernah mengharumkan nama negara di pentas serantau.

Selepas bersara daripada arena tinju, kehidupan Balkhis kembali diuji apabila beliau disahkan menghidap kanser pada tahun 2023.

Situasi itu ibarat 'jatuh ditimpa tangga', namun bekas anggota komando itu memilih untuk terus bangkit dan tidak menyerah kepada keadaan.

Bagi meneruskan kehidupan, Balkhis melakukan pelbagai pekerjaan termasuk bekerja sebagai penghantar makanan, selain menjadikan aktiviti mendaki sebagai hobi bagi mengekalkan kekuatan fizikal dan mental.

Dalam usaha meringankan beban bekas atlet negara itu, rombongan Projek Ramadan turut berkunjung ke kediamannya bagi menyampaikan sumbangan serta memberi sokongan moral.

Inisiatif tersebut turut melibatkan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) yang dipengerusikan oleh Ahmad Shapawi Ismail, selain sokongan daripada PEKEMA melalui naib presidennya, Raja Petra Marudin Raja Nordin.

Program berkenaan bertujuan membantu bekas atlet yang pernah mengharumkan nama negara agar kebajikan mereka terus terbela.

Walaupun berdepan ujian kehilangan penglihatan serta masalah kesihatan serius, Balkhis tetap menunjukkan semangat luar biasa untuk meneruskan kehidupan.

Kisahnya menjadi simbol ketabahan seorang bekas atlet negara yang tidak pernah berputus asa, walaupun berhadapan cabaran berat selepas meninggalkan arena sukan.

 

Must Watch Video