Skip to main content

Berita Sukan Am

Projek Ramadan: Faridul Masri, perginya seorang juara -- tinggal kenangan buat keluarga

Projek Ramadan: Faridul Masri, perginya seorang juara -- tinggal kenangan buat keluarga

Di sebalik keterujaan umat Islam menyambut bulan mulia, ada sebuah keluarga kecil yang diuji dengan kehilangan insan tersayang.

Allahyarham Faridul Masri, bekas atlet olahraga para negara, pergi meninggalkan kenangan, jasa dan satu kekosongan yang sukar diungkap dengan kata-kata.

Advertisement

Menerusi bingkisan khas Projek Ramadan 2026 oleh wartawan Husna Zainuddin menyingkap detik menyentuh hati ketika balu Allahyarham menerima sumbangan yang dibawakan oleh penaja utama, Dongfeng Cars Malaysia by CADB dan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA).

Bagai patah sayap sebelah, rasa sunyi menyelubungi hari-hari yang dilalui keluarga Allahyarham. Kehilangan itu masih segar, tanah pusara masih merah. Namun Ramadan mengajar erti reda, sabar dan kekuatan untuk meneruskan kehidupan.

Pemergian Allahyarham kira-kira sebulan sebelum Ramadan meninggalkan luka yang masih basah. Acara merejam lembing dan melontar peluru cukup sinonim dengan dirinya. Pentas Sukan Para ASEAN 2017 dan Sukan Para Asia 2018 menjadi saksi zaman kegemilangannya apabila menghadiahkan kilauan emas buat negara.

Namun takdir mengubah segalanya. Tahun ini sepatutnya menjadi tahun keempat mereka sekeluarga menyambut Aidilfitri bersama.

"Dua minggu sebelum arwah meninggal dunia, terdapat ada perbincangan mengenai persiapan hari raya, namun pemergian suami saya ini memberikan kesan yang cukup mendalam," katanya.

Menurut balunya, Hildda Sarkawi, suara arwah masih terngiang-ngiang di telinga. Kepada anak lelaki mereka, Abdul Raziq, kini amanah dan tanggungjawab dipikul di bahu kecilnya.

Dalam saat duka yang masih menghimpit, Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) bersama PEKEMA tampil menghulurkan sumbangan dan khairat kematian, dengan harapan dapat meringankan beban yang ditanggung keluarga.

"Kami berharap sumbangan yang PEKEMA hulurkan mampu membantu ahli keluarga arwah Faridul membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri," kata Setiausaha Kehormat PEKEMA, Faresh Ahmad Zahid.

Projek Ramadan Nadi Arena kali ini bukan sekadar paparan kisah kehilangan, tetapi juga penghargaan terhadap jasa seorang wira para negara -- yang namanya mungkin tidak lagi bergema di stadium, namun tetap terpahat dalam sejarah sukan tanah air.
 

Topik Berkaitan

Must Watch Video