Skip to main content

Berita Sukan Am

Projek Ramadan: Bekas jaguh tinju negara kini menderita sakit saraf

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

Nekmat Jantan

Nekmat Jantan pernah menggegarkan arena tinju negara dengan memenangi pingat perak dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 1989.

Bagaimanapun, dia kini perlu bergantung kepada kerusi roda apabila mengalami penyakit saraf sejak 26 tahun lalu.

Advertisement

Projek Ramadan, yang dibawakan oleh Dong Feng Cars Malaysia dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), menelusuri perjalanan hidup Nekmat daripada seorang atlet lincah, kini terpaksa pasrah dengan ujian getir apabila pergerakannya terbatas.

Nekmat mula berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 1981 sebelum bergelar peninju negara lapan tahun kemudian.

Sukan Sea Kuala Lumpur 1989 cukup bermakna kerana ia merupakan penampilan sulungnya mewakili negara dan berhasil meraih pingat perak walaupun turun sebagai peninju bukan pilihan.

Berbekalkan disiplin ketenteraan, dia tidak pernah gentar untuk memasuki gelanggang, tidak kira di dalam atau di luar negara.

Bagaimanapun, ujian datang pada 2020 apabila Nekmat jatuh tangga di kediamannya di Bukit Katil, Melaka.

Daripada seorang bekas atlet yang aktif, individu berusia 63 tahun itu perlahan-lahan kehilangan keupayaan untuk bergerak.

Rombongan Projek Ramadan berkunjung ke kediaman Nekmat dengan harapan dapat membawa keceriaan di wajah wira negara ini.

"Dulu saya tentera dan berjinak-jinak dengan tinju, jadi selepas itu, saya lakukan latihan tinju sehingga dapat mewakili Malaysia," katanya kepada wartawan Astro Arena, Ainul Abd Rouf.

"Apabila sudah lama tidak melakukan latihan dan hanya duduk di rumah, ketika itulah penyakit datang.

"Saya kena macam stroke, automatik terjatuh, dan itu lah yang terus melarat sehingga hari ini.

"Pendapatan saya kini hanyalah (pencan) askar, bantuan Yekeb dan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat).

"Jika Yakeb tidak membantu saya (untuk membeli keperluan), saya pun tidak tahu mahu minta di mana.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Yakeb, Pekema (Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia) dan Astro."

 

Topik Berkaitan

Must Watch Video