Skip to main content

Berbasikal

PKBM sambut baik sokongan kerajaan, MSN terhadap misi Azizulhasni ke LA28

PKBM sambut baik sokongan kerajaan, MSN terhadap misi Azizulhasni ke LA28

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menyambut baik dan menghargai keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) untuk terus memberi sokongan kepada Datuk Mohd Azizulhasni Awang dalam misi memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill, berkata keputusan itu memberikan kejelasan yang amat diperlukan buat Azizulhasni untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap kempen kelayakan Olimpik, khususnya dalam acara keirin dan pecut.

Menurutnya, perjalanan kelayakan itu bakal bermula dengan Kejohanan Trek Dunia UCI 2026 di Shanghai, China, Oktober ini.

“PKBM sebenarnya telah memulakan persiapan terperinci bagi laluan kelayakan LA28 lebih awal sebelum keputusan terbaharu ini dibuat.

“7 Julai 2026, PKBM telah mengadakan perbincangan terperinci bersama MSN dengan kehadiran Ketua Pengarah MSN serta pegawai kanan bagi membincangkan laluan kelayakan ke LA28, termasuk syarat kelayakan dan pertandingan antarabangsa yang perlu disertai pelumba negara untuk mengumpul mata ranking Olimpik,” katanya.

Amarjit yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) berkata, perancangan awal amat penting memandangkan proses kelayakan LA28 memerlukan persediaan rapi, termasuk mengenal pasti laluan pertandingan serta bentuk sokongan yang diperlukan sepanjang tempoh kelayakan.

Susulan itu, PKBM 10 Ogos lalu secara rasmi menulis kepada Menteri Belia dan Sukan serta MSN bagi menyatakan pendirian agar Azizulhasni terus mewakili Malaysia dalam misi menuju LA28.

“Kami amat gembira Kerajaan dan MSN telah memberi maklum balas yang positif. Ini merupakan satu keputusan penting bukan sahaja untuk Azizulhasni, tetapi juga untuk sukan berbasikal Malaysia dan aspirasi negara di LA28,” katanya.

Dalam surat bertarikh 30 Ogos 2026, MSN turut mengesahkan sokongan terhadap Azizulhasni sebagai antara pelumba trek negara yang akan menggalas tanggungjawab mengumpul mata kelayakan Olimpik LA28 bersama atlet-atlet di bawah program Road to Gold (RTG) dan Podium MSN.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, turut mengarahkan MSN memastikan kesinambungan proses kelayakan atlet berbasikal trek negara ke LA28.

Amarjit berkata PKBM menghargai kepimpinan serta sokongan Menteri Belia dan Sukan dan MSN dalam memastikan laluan Azizulhasni ke Olimpik 2028 kekal terbuka.

Dia percaya keputusan untuk mengekalkan Azizulhasni sebagai antara tonggak utama kempen kelayakan adalah berdasarkan prestasi semasa serta pencapaian cemerlang pelumba berusia 38 tahun itu.

Pada masa sama, pengalaman luas Azizulhasni dianggap amat bernilai bukan sahaja untuk dirinya, malah dalam membimbing dan memberi inspirasi kepada pelumba-pelumba trek negara lain yang turut memburu kelayakan ke LA28.

“Azizulhasni telah memberikan begitu banyak kepada sukan Malaysia dan diperlukan oleh Malaysia untuk menggalas cabaran dan tugas penting ini untuk negara.

“Dia terus membuktikan bahawa masih mampu bersaing dengan jayanya di peringkat tertinggi. Pengalaman, komitmen dan mentaliti juara yang dimilikinya kekal sebagai aset besar kepada program berbasikal trek negara,” tegasnya.

Amarjit menegaskan, keputusan terbaharu itu kini membolehkan semua pihak mengalihkan tumpuan kepada persiapan dan proses kelayakan.

“Paling penting sekarang ialah kita bergerak ke hadapan bersama-sama. Laluan menuju Los Angeles bukan mudah dan memerlukan usaha bersepadu daripada PKBM, KBS, MSN, barisan jurulatih, pasukan sokongan serta para atlet.

“Dengan laluan yang kini semakin jelas, fokus kita adalah kepada proses kelayakan serta memastikan Azizulhasni dan pelumba-pelumba trek negara mendapat peluang terbaik untuk melayakkan diri dan membawa cabaran Malaysia di LA28,” katanya.

Anda mungkin berminat dengan

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Related Topics

Must Watch Video

Advertisement